PERNAH ditegur solat tidak sah kerana bertattoo, Adam Corrie Lee Abdullah bagaimanapun bersikap terbuka menangani isu tersebut.
Pengalamannya itu dikongsi menerusi laman Instagramnya (IG).
"Saya pernah ditegur masa solat di set filem kerana ada tattoo. Mereka kata solat saya tak sah. Ada yang suruh saya buang tattoo dulu. Tapi saya senyum je. Sebab saya dah tahu hukumnya.
"Bagi mereka yang bertattoo before Syahada, solatnya sah. Dan tak wajib buang tattoo sekiranya memudaratkan diri," kongsinya sambil disertai #tabayyun.
Mengulas lanjut, selebriti berusia 49 tahun ini mengakui isu tersebut sering dialami oleh golongan mualaf.
"Isu biasa yang dialami oleh saudara baru. Ini bukan isu sedih ke, marah ke, tertekan ke. Suruh orang bertabah ke.
"Kebanyakan saudara baru tahu solat mereka sah. Ini cuma satu perkongsian untuk mereka yang masih tak tahu tentang perkara saudara baru yang bertatto sebelum syahadah," jelasnya di IG.
Tidak cepat melatah, pelakon filem KL Gangster ini sebaliknya lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri.
"Saya banyak handle kes ni bersama saudara baru. Saya selalu sarankan supaya saudara baru senyum sahaja. Tak perlu berdebat dengan mereka," katanya.
Malah, Adam mengakui sudah lali dengan teguran sebegitu.
"Saya dah biasa dengan teguran ini. Tak terasa apa-apa pon. Saya dah 10 tahun dalam Islam. Dah ok.. Sebab saya tahu bukan semua orang tahu hal ni. Ilmu setiap orang tak sama," katanya.
Pada masa sama, pelakon filem Paloh ini turut menyarankan agar saudara baru yang bertattoo mengenakan pakaian yang bersesuaian.
"Saya juga sarankan pakai baju lengan panjang, berseluar panjang supaya tattoo tersebut tidak nampak orang lain. Untuk elak org salah faham," tulisnya lagi.
Ini kerana, katanya, tattoo tidak perlu dibuang sekiranya mampu memudaratkan diri selain memerlukan kos yang tinggi.
"Bukan semua saudara baru mampu buang tattoo. Dan ia juga mungkin mudaratkan badan jika tattoo penuh di badan hendak dibuang.
"Kos tinggi. Bukan sekali sahaja treatment lazer kena buat.. banyak kali kena buat. Buat kajian sebelum berbicara," katanya.
Sehubungan itu, pelakon filem Kapsul ini turut menggesa orang ramai agar membuat rujukan pada yang pakar berkaitan sesuatu isu.
"Saya bertattoo sebelum saya mengucap dua kalimah syahadah. Lepas syahadah saya sudah Islam. Tak de la nak buat tattoo di badan lagi kerana tahu hukumnya HARAM
"Kalau nak tahu pasal hukum hakam agama jangan rujuk, DM dengan saya. Saya bkn ustaz. Rujuk dengan para ilmuwan agama yang bertauliah," tulisnya lagi.
Adam memeluk Islam pada Julai 2007 dan mendirikan rumah tangga dengan Fazima Fuad pada 21 November 2008.
Sumber: Sinar Online