Ahli Parlimen Bukit Katil Rugi RM20,000, Rumah Dipecah Masuk Penjenayah


MELAKA - Kediaman Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang terletak di Bukit Baru di sini dipecah masuk penjenayah semalam menyebabkan ahli politik itu kerugian lebih RM20,000. 

Menurut Shamsul, kejadian itu disedari sebaik dia dan keluarganya tiba di rumah tersebut dari Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam.

"Saya mengesyaki rumah dipecah masuk dan pemeriksaan lanjut mendapati dua unit komputer riba yang digunakan atas urusan kerja, barang kemas isteri, empat jam tangan, dua beg sekolah anak serta tabung hilang.

"Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah melalui bahagian belakang dengan memotong jeriji besi tingkap sebelum menyelongkar kediaman kami," katanya.

Shamsul Iskandar berkata, dia membuat laporan mengenai kejadian  itu di Balai Polis Bukit Baru di sini pada malam kejadian.

Jelas Shamsul, dia difahamkan kejadian pecah masuk tersebut adalah kes keempat dilaporkan berlaku di kawasan kejiranan berkenaan sepanjang bulan ini.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada polis kerana segera bertindak dan menjalankan siasatan sehingga pukul 5.30 pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd. Kamal Zainal mengesahkan kejadian tersebut. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. 

Sumber: K! ONLINE