NILAI - Pelawak, pelakon dan pengacara, Ajak Shiro, bersyukur apabila isterinya disahkan bebas jangkitan wabak MERS-CoV selepas demam berpanjangan sebaik kembali daripada mengerjakan umrah, bulan lalu.
Ajak atau nama sebenarnya, Mohamad Hanaffi Razak, 32, berkata isterinya, Nur Afifah Amin, dikuarantin apabila menunjukkan simptom penyakit itu sebaik menerima rawatan di hospital, Rabu lalu.
"Siapa tidak risau apabila isteri demam panas tidak kebah, sakit sendi, sesak nafas dan hidung tiba-tiba berdarah, tambahan pula kami baru beberapa hari pulang ke tanah air.
"Awalnya saya membawa isteri ke klinik untuk menerima rawatan. Disebabkan suhu badannya tinggi dan ada beberapa tanda membimbangkan, doktor menyarankan kami ke hospital untuk membuat ujian darah.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, isteri diletakkan di wad berasingan. Alhamdulillah, selepas pemeriksaan, dia disahkan bebas wabak MERS-CoV dan kini sudah dibenarkan pulang ke rumah," katanya.
Penyampai segmen Geng Pagi Hot di Hot FM itu ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-32 di sini dan turut ditemani Nur Afifah serta tiga anak mereka.
Ajak yang baru diumumkan sebagai pengacara Melodi bersama Janna Nick berkata, isterinya berkeras minta dibenarkan keluar wad awal kerana mahu membuat kejutan majlis hari jadinya yang dirancang sejak dua minggu lalu.
Mengenai pemilihannya sebagai pengacara baharu program hiburan popular itu, bapa kepada Mohd Jad Thaqif, 7; Mohd Had Thaqif, 4; dan Nada Soffea, 2, itu berkata, tawaran mengendalikan Melodi memberikan cabaran tersendiri dalam kerjayanya.
Sumber: BH Online