Akhyar Perlu Siasat, Jangan Terima Sesuka Hati - B Sathianathan


KUALA LUMPUR - Penyerang skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Akhyar Rashid perlu menyiasat profil kelab luar negara yang berminat mendapatkan khidmatnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berhijrah.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menjelaskan, ia penting bagi memastikan tujuan pemain muda Kedah itu berhijrah ke luar negara untuk mengembangkan lagi bakatnya, tercapai.

Katanya, Akhyar atau pemain lain yang berhasrat untuk beraksi di liga luar negara perlu memilih kelab yang memiliki standard lebih tinggi berbanding pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Kalau nak diikutkan pergi ke (liga) Indonesia tak digalakkan kerana standard mereka lebih kurang liga M. Tapi kalau Jepun dan Thailand, saya fikir bagus untuk pemain muda seperti Akhyar mengembangkan bakatnya.

"Tapi dia kena pastikan adakah kelab yang ingin disertai itu berprofil tinggi dalam liga mereka dan selain mempunyai sejarah melahirkan ramai pemain kebangsaan negara itu.

"Kita juga perlu lihat struktur kelab itu, apa kedudukan mereka dalam liga dan seterusnya kemudahan yang dimiliki. Kalau kemudahan lebih teruk dari Kedah buat apa dia pergi," katanya semalam.

Kelmarin, abang Akhyar, Rafdi yang juga bekas pemain Kedah mengesahkan terdapat wakil atau ejen yang berminat berunding dengan adiknya itu mengenai tawaran beraksi bersama kelab Thailand, Jepun dan Indonesia.

Ia susulan prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain berusia 18 tahun itu ketika bersama skuad negara sepanjang Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 yang menyaksikan anak didik Datuk Ong Kim Swee mencipta sejarah apabila mara hingga ke suku akhir.

Selain itu, Sathianathan turut berharap pemain tempatan yang ditawarkan kelab luar perlu membuat penilaian terlebih dahulu dan tidak hanya menjadi pelengkap kepada pasukan itu.

"Pemain perlu lihat kelab mana yang mahukan mereka. Jangan kelab divisyen dua Thailand, itu tidak bagus.

"Mereka juga kena pastikan ada peluang untuk bermain, contohnya jika pergi ke Thailand, kalau kelab itu hanya nak guna dia bagi penuhi untuk kuota import ASEAN dan diletakkan di bangku simpanan, buat apa.

"Tapi kalau di Jepun, divisyen satu dan dua mereka sudah bagus. Jika kelab itu bagus, pemain tidak harus lepaskan peluang ini dan kita semua pasti gembira jika ada pemain tempatan beraksi di liga lebih tinggi," katanya.

Sumber: BH Online