Aliff Syukri Lancar Restoran Cita Rasa Tradisional


USAHAWAN tersohor, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengembangkan empayar perniagaannya dengan melancarkan restoran, Romah Makan Terlajak Laris.

Beliau yang juga Pengasas D’Herbs berkata, restoran tersebut melibatkan pelaburan keseluruhan berjumlah RM200,000.

“Idea untuk buka restoran sendiri ini sudah lama saya impikan kerana saya sangat suka memasak.Saya bermula secara kecil-kecilan dengan menjual sambal menerusi online.

“Dengan modal RM10,000 saya mendapat keuntungan dan melabur untuk membuka Romah Makan Terlajak Laris,” katanya yang ditemui ketika pelancaran restoran tersebut di Kota Damansara, semalam.

Menyediakan lebih 40 menu tradisional dengan pelbagai cita rasa Melayu, katanya, Romah Makan Terlajak Laris menawarkan harga berpatutan dan beroperasi seawal jam 8.30 pagi hingga lewat malam.

“Saya juga berhasrat untuk mengembangkan cawangan Romah Makan Terlajak Laris ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aliff Syukri turut melancarkan koleksi baharu jenama tudungnya, AliffbySha dengan harga RM99.

Koleksi Tudung Bawal Satin Silk itu melibatkan kolaborasi bersama lima selebriti iaitu Nadia Annuar, Joy Revfa, Uyaina Arshad, Nabila Razali dan isteri beliau, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid.

“Alhamdulillah sejak diperkenalkan, koleksi tudung AliffbySha terjual melebihi 10,000 helai sebulan.

“Saya yakin, kualiti tudung menjadi faktor utama jenama AliffbySha menjadi pilihan. Selain menggunakan fabrik kualiti tinggi diimport khas dari Korea dan kelainan corak, kita juga mengekalkan jenama ini dengan cara eksklusif,” katanya.

Sumber: Sinar Harian