KUALA PILAH - Seorang wanita berusia 35 tahun di sini terkejut apabila mendapati sebuah almari hiasan dirumahnya di Kampung Senaling dekat sini disalut sarang tebuan tanah berukuran kira-kira dua meter panjang dan satu meter lebar.
Kewujudan sarang serangga berbisa itu disedari wanita tersebut selepas dia dan keluarganya yang menetap di Seremban pulang ke rumah berkenaan untuk mengemasnya pada cuti hujung minggu lalu.
Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Pilah, Sarjan Majeran Lon be berkata, wanita tersebut memaklumkan kali terakhir dia dan keluarganya pulang bagi membersihkan rumah tersebut kira-kira sebulan lalu.
"Kami terima panggilan kecemasan daripada wanita itu pada pukul 9.23 malam kelmarin. Serama tiga anggota APM Kuala Pilah ke lokasi kejadian pada pukul 8.20 pagi semalam.
"Anggota kami menemui sarang tebuan bersaiz besar menyelaputi sebuah almari hiasan dalam rumah berkenaan. Sengatan tebuan ini berbahaya kepada manusia," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Majeran berkata, beliau dan dua anggota APM Kuala Pilah mengambil masa selama 30 minit untuk memusnahkan sarang tebuan tanah itu dengan menggunakan racun serangga.
Menurut beliau, mereka menggunakan pakaian khas sewaktu melakukan kerja-kerja tersebut untuk mengelak daripada disengat serangga berbisa tersebut.
Kosmo! pada 7 Januari lalu melaporkan sebuah keluarga di Kampung Dingkir Inas, Johol di sini terkejut apabila menemui sarang tebuan tanah bersaiz sebiji bola sepak dalam sebuah almari pakaian di rumah mereka.
Keluarga berkenaan menemui sarang tebuan itu selepas melakukan pemeriksaan dalam rumah berikutan beberapa ekor tebuan kerap dilihat berterbangan dalam rumah tersebut.
Beberapa ahli keluarga itu malah pernah disengat menyebabkan mereka menelefon APM Kuala Pilah bagi mendapatkan bantuan memusnahkan sarang serangga berkenaan.
Sumber - Kosmo