ALOR SETAR - Ambulans Udara 'Langkawi Hospital Emergency Medical Services' yang pertama di Malaysia bakal memberi faedah kepada 120,000 penduduk dan juga sekitar empat juta pelancong yang melawat Pulau Langkawi.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kemudahan itu bukan sahaja bakal mentransformasikan perkhidmatan perubatan kecemasan kepada masyarakat malah ia juga akan meningkatkan kualiti perkhimatan.
"Proses ‘memindahkan’ pesakit-pesakit yang memerlukan rujukan segera ke hospital-hospital di tanah besar untuk rawatan selanjutnya.
“KKM amat prihatin terhadap keperluan rakyat khususnya kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi," katanya ketika merasmikan Pelancaran Ambulans Udara 'Langkawi Hospital Emergency Medical Services', di Langkawi, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail, dan Pengarah Hospital Langkawi,Dr Mansor Ismail.
Tambahnya, antara aspek yang dititikberatkan adalah keselamatan, berkesan, mesra pelanggan, senang diakses, efisien serta menepati waktu atau 'timely'.
"Dari segi akses, rujukan pesakit dari Pulau Langkawi, yang secara logistiknya agak terasing dari tanah besar Semenanjung Malaysia.
“Oleh itu, perkhidmatan seperti ambulan udara perlu dipertingkatkan bagi mengatasi kelewatan mendapatkan rawatan," katanya.
Menurut Dr Hilmi , terdahulu wujud pengangkutan pesakit kecemasan ke hospital rujukan dengan menggunakan perkhidmatan feri-feri penumpang Ambulan Laut 'My Kusha' yang dilancarkan pada 2 Februari 2014 yang lalu.
"Penggunaan perkhidmatan feri penumpang atau ambulan laut sebenarnya memakan masa hampir tiga hingga empat jam sehala atau enam hingga lapan jam pergi-balik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
"Dalam pengurusan kes kecemasan yang selalunya melibatkan nyawa pesakit, masa adalah sangat penting. Kadang kala, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan juga boleh melambatkan proses penghantaran pesakit," katanya.
KKM mengambil suatu keputusan yang signifikan dalam mendapatkan perkhidmatan ambulan udara ini demi menyelamatkan nyawa pesakit.
"Usaha ini adalah bukti kerajaan prihatin dan komited dalam menyelesaikan masalah masyarakat terutamanya dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi.
"Projek Ambulans Udara Hospital Langkawi merupakan projek pertama di Malaysia yang mana sesebuah hospital dibekalkan dengan helikopter untuk tujuan Perkhidmatan Ambulans Udara atau pun 'Emergency Medical services'," katanya.
Tambah beliau, perkhidmatan dibekalkan sebuah helikopter canggih yang direka khas yang lengkap dengan peralatan perubatan yang canggih, model Airbus H135 yang terbaru di pasaran. - Kedahnews.com