Anak Saudara Sultan Brunei Pemain Bola Sepak Terkaya Di Dunia


KUALA LUMPUR – Apabila anda fikir tentang pemain bola sepak terkaya dunia, minda anda serta-merta tertumpu kepada Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar – bukan seorang remaja berusia 19 tahun dalam barisan simpanan Leicester City.

Dia adalah Faiq Bolkiah, anak saudara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang dianggarkan memiliki kekayaan AS$20 bilion (RM79.95 bilion), menurut laporan akhbar Britain, Metro.

Pemain sayap Foxes berbakat itu bermain di England agak lama, memulakan kariernya di AFC Newbury sebagai remaja.

Pada 2009, Southampton menambah Faiq ke akademi mereka yang sering diperkatakan. Biarpun tidak diajukan sebarang kontrak, Arsenal menawarkan putera Brunei itu menjalani ujian bersama mereka pada 2013.

Faiq beraksi dengan Gunners dalam Piala Lion City 2013 dan menjaringkan satu gol dalam pertandingan itu.

Menyedari kemampuannya, Chelsea menawarkannya kontrak dua tahun yang terus ditandatanganinya. Namun selepas hanya setahun, Faiq keluar untuk menyertai Leicester dengan kontrak tiga tahun.

Walaupun dilahirkan di Los Angeles, Amerika Syarikat, Faiq memilih untuk bermain dengan Brunei dan telah mewakili negaranya sembilan kali dan menja­ringkan satu gol.

Untuk menjelaskan kekayaan Faiq, anda perlu melihat bapanya Jefri.

Adik Sultan Brunei itu dilaporkan membelanjakan secara kasarnya 10 bilion pound (RM54.23 bilion) dalam masa 15 tahun sebagai ketua agensi Brunei Investment.

Dan, pada suatu ketika, Jefri terang-terangan membelanjakan 35 juta pound (RM189.82 juta) sebulan untuk kereta, jam tangan dan pena emas putih.

Bapa pemain sayap Leciester itu juga dipercayai memiliki hingga 2,300 kereta termasuk Bentley, Ferrari dan Rolls-Royce.

Namun lebih mengagumkan, apabila Jefri meraikan hari jadi ke-50, dia menerbangkan Michael Jackson untuk datang dan mengadakan sebuah konsert peribadi.

Selain membina sebuah stadium khusus bagi acara itu, dia membayar Raja Pop itu, £12.5 juta (RM67.79 juta).

Dengan semua kekayaannya, ramai mungkin tertanya-tanya mengapa Faiq sanggup bermain bola sepak lagi.

Dalam satu temu bual yang jarang diperoleh, Faiq mendedahkan: “Saya telah bermain bola sepak seawal yang saya boleh ingat dan sejak usia muda, saya sentiasa seronok keluar ke padang dan ada bola di kaki saya.

“Ibu bapa saya sentiasa menyokong dalam membantu saya mencapai impian saya menjadi seorang pemain bola sepak.” – AGENSI