Anak Tukang Mencuri, Ibu Tukang Gadai Di Perlis


KANGAR - Seorang wanita dan anak lelakinya, antara tiga suspek yang ditahan polis malam tadi kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di Padang Melangit di sini, Khamis lalu.

Wanita berusia 50 tahun dan anaknya yang berumur 17 tahun ditahan di Chuping, di sini. Seorang lagi suspek adalah lelaki berusia 29 tahun yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata dalam kejadian Khamis lalu, seorang guru mendakwa kerugian RM12,000 selepas rumahnya dipecah masuk.

Katanya, guru berusia 34 tahun itu menyedari rumahnya dipecah masuk selepas mendapati keadaan dalam bilik tidur berselerak apabila pulang dari sekolah sekitar jam 1.50 tengah hari.

"Pemeriksaan lanjut mangsa mendapati barangan kemas seperti rantai tangan, cincin, gelang tangan dan rantai leher yang disimpan di dalam beg dan diletakkan di dalam almari pakaian hilang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wari berkata, pasukan forensik yang melakukan pemeriksaan di rumah mangsa, menemui enam kesan cap jari.

"Berdasarkan kesan cap jari berkenaan kita berjaya mengesan identiti suspek," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua suspek lelaki memecah masuk rumah itu, manakala suspek wanita terbabit bersubahat dengan gadai barangan kemas curi.

"Semua suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini sehingga Rabu ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah masuk premis bagi mencuri.

Sumber: Berita Harian