Apa Hukum Memakai Cosplay?


MALAYSIA merupakan salah satu negara yang mempunyai penggemar kostum watak (cosplay) walaupun jumlahnya tidak seramai dari negara asal budaya berkenaan iaitu Jepun. Namun begitu, tidak ramai yang tahu hukum memakai persalinan watak di sisi agama Islam.

Siri ke-123 Bayan Linnas di laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam bakal menjernihkan sebarang kemusykilan penggemar cosplay yang beragama Islam.


Posting tersebut yang kemudian disambung ke laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, ada empat kriteria penting yang boleh menyebabkan pemakaian kostum haram atau makruh.

"(Pertama) Sekiranya kostum berkenaan mendedahkan aurat, maka ia diharamkan," kata posting berkenaan.

Katanya, jika ia menyerupai dewa-dewa dalam agama atau kepercayaan lain atau rekaan seperti Beerus, Haruhi Suzumiya, Deus Ex Machina dan lain-lain, maka ia diharamkan.

"Sekiranya ada yang mempersoalkan kaitan pemakaian kostum dewa-dewa dengan akidah, kami katakan bahawa ia bukan isu tergugat atau rosaknya akidah tetapi ia adalah isu jati diri seorang Muslim.

"(Ketiga) Sekiranya ia memerlukan belanja yang besar sehingga membazir, maka ianya diharamkan.

"Sekiranya ia dengan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk maka ia adalah makruh," jelas posting di laman tersebut.

Akhir sekali, satu kesimpulan dibuat berdasarkan kriteria-kriteria yang telah disebut.

"Kami melihat bahawa pemakaian sebahagian kostum atau cosplay tertentu adalah lebih kepada untuk menunjuk-nunjuk dan boleh mendatangkan fitnah kepada agama Islam itu sendiri. Selain itu, ianya juga termasuk dalam kategori pembaziran duit dan masa di mana ALLAH SWT melarang keras hambanya daripada melakukan apa-apa pembaziran  dalam kehidupan," kata Zulkifli.

Pelayar Sinar Online boleh layari laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk penjelasan lebih lanjut.

Sumber: Sinar Online