TERKANDAS di lapangan terbang kerana penerbangan dibatalkan memang membingungkan apatah lagi jika anda bersama si kecil dan keluarga!
Di situlah anda akan sedar bahawa tidak semua lapangan terbang di dunia selesa dan petugas di sana bersedia pada bila-bila masa melayan kerenah anda.
Daripada mengamuk atau bertekak di kaunter perkhidmatan pelanggan, perkara terbaik yang anda boleh lakukan adalah tenang dan cuba tips ini.
Periksa apa hak anda sebagai penumpang
Tiket penerbangan tidak hanya memberi anda hak untuk terbang dari Destinasi A ke Destinasi B sahaja. Ia juga boleh datang dengan faedah dalam keadaan tertentu seperti pembatalan penerbangan atau kelewatan.
Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah mendekati wakil syarikat penerbangan dan bertanya apa manfaat yang boleh dituntut disebabkan kelewatan atau pembatalan.
Sebagai contoh, kebanyakan syarikat penerbangan terpaksa memberi anda baucar makanan jika penerbangan ditangguhkan lebih dari beberapa jam.
Anda mungkin juga dapat menuntut penginapan untuk kelewatan semalaman, atau dialihkan ke penerbangan atau mod pengangkutan lain.
Jangan buang sebarang resit untuk makanan, penginapan dan kos lain yang ditanggung semasa kelewatan, kerana anda mungkin dapat mengemukakannya untuk membuat tuntutan kemudian, sama ada kepada syarikat penerbangan atau penanggung insurans.
Akhir sekali, pastikan anda mendapat dokumentasi dari syarikat penerbangan itu sendiri berhubung pembatalan atau kelewatan.
Periksa apa manfaat ditawarkan syarikat insurans
Semak apa faedah yang ditawarkan insurans perjalanan anda. Ini satu berita gembira! Jika anda mempunyai polisi insurans perjalanan, kemungkinan besar anda berhak menerima beberapa jenis pampasan jika penerbangan anda dibatalkan.
Kebanyakan polisi juga akan menawarkan pampasan untuk kelewatan panjang. Anda harus sentiasa membawa salinan polisi insurans perjalanan bagi membolehkan anda menyemak apa yang anda berhak tuntut.
Jika anda tidak pasti, jangan teragak-agak untuk menghubungi syarikat insurans perjalanan anda. Penanggung insurans akan memberitahu apa yang boleh dituntut dan bagaimana untuk mengemukakan tuntutan selepas itu.
Ini boleh menjadi satu kelegaan lebih-lebih lagi jika anda dapat menempah bilik hotel dan bukannya tidur di lantai lapangan terbang.
Pastikan bateri telefon/laptop dicas penuh
Pastikan telefon dan/atau komputer riba anda cukup bateri atau mempunyai pengecas supaya anda dapat membuat semakan atau dapat dihubungi melalui peranti tersebut.
Ingat, tiada apa yang lebih bahagia dalam berdepan saat getir ini selain memiliki peranti yang baterinya dicas penuh.
Jadi, sebelum menaiki penerbangan, pastikan ia dicas secukupnya. Ini kerana semasa berlaku penangguhan atau pembatalan penerbangan, anda pasti memerlukan sambungan internet (banyak lapangan terbang sekarang menawarkan wifi percuma) atau sekurang-kurangnya mempunyai akses telefon supaya anda dapat berhubung dengan keluarga dan penanggung insurans dan/atau menempah penginapan jika perlu.
Tempah penginapan secepat mungkin
Sebaik sahaja anda mengetahui polisi penginapan syarikat penerbangan/penanggung insurans anda, anda boleh membuat tempahan secepat mungkin, dengan anggapan bahawa syarikat penerbangan itu tidak akan melakukannya bagi pihak anda. Ini kerana harga penginapan di sekitar lapangan terbang mungkin melonjak tinggi apabila berlaku pembatalan atau penangguhan penerbangan besar-besaran.
Hotel berhampiran lapangan terbang juga mungkin cepat penuh jika tidak banyak pilihan.
Periksa kad kredit
Periksa sama ada kad kredit anda melayakkan anda mengakses lounge di lapangan terbang boleh menjadi satu kelegaan semasa penangguhan penerbangan, jadi pastikan sama ada kad kredit anda mempunyai kelebihan ini.
Lounge lapangan terbang biasanya menawarkan anda makanan dan minimum percuma, stesen pengecasan dan sambungan Internet. Ada juga kemudahan bilik mandi atau tempat duduk yang juga membolehkan anda berbaring.
Sumber: moneysmart