Awasi Anak Dengan Lebih Teliti – Tengku Abdullah


KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah supaya semua ibu bapa mengawasi anak mereka dengan lebih teliti sepanjang musim banjir di negeri itu.

Baginda bertitah semua ibu bapa perlu mengambil iktibar daripada kejadian lemas pertama di Pahang hari ini, yang meragut nyawa Muhammad Faris Aqeel Mohd Afif, 7, yang lemas di sawah padi Kampung Padang Jaya, Sungai Lembing, di sini kelmarin.

“Kejadian ini kehendak Allah… namun saya hendak mengingatkan semua ibu bapa khususnya mereka yang tinggal berhampiran kolam, sungai atau longkang besar, mereka harus sentiasa memerhatikan anak-anak.

“Hari ini, seorang bapa yang baharu menghantar anaknya ke sekolah dua hari lalu kehilangan anak. Memang menyedihkan dan saya berharap perkara ini menjadi peringatan kepada semua. Ambil nasihat ini sebagai suatu yang serius,” titahnya.

Tengku Abdullah bertitah demikian kepada pemberita selepas berkenan mencemar duli menziarahi keluarga mangsa di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, malam ini bersama-sama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Tengku Abdullah secara peribadi juga mengucapkan takziah kepada Mohd Afif Abd Razak, 33, dan isteri Intan Fazwani Che Zainol, 33, atas kehilangan anak sulung mereka.

Baginda juga bertitah supaya rawatan dan perhatian sepenuhnya diberikan kepada anak bongsu pasangan itu, Muhammad Firas Adam, 5, yang turut terjatuh ke dalam sawah padi itu dan kini sedang dirawat di zon kuning HTAA.

“Saya diberitahu ibu mangsa juga sedang mengandung, menjadikan berita ini lebih sedih untuk diterima keluarganya. Saya doakan yang terbaik untuk keluarga ini dan untuk kita semua,” titahnya.  – Bernama