TULAR di media sosial video seorang bapa membimbing secara berhati-hati anak lelakinya melalui jambatan uzur untuk pergi ke sekolah.
Video dimuat naik pengguna Facebook yang menggunakan akaun nama Siti Zaharah sejak pagi itu telah dikongsi 12,430 pengguna media sosial dan mencetuskan reaksi pelbagai daripada netizen.
Difahamkan, ia dirakamkan di Jambatan Gantung Pamah Aur, Bukit Betong, Kuala Lipis, Pahang.
Menurut Siti Zaharah, dia terpaksa menahan perasaan takut dan gementar melihat anak lelaki dan suaminya menyeberangi jambatan uzur untuk ke sekolah.
“Anak emak bersemangat dah nak ke sekolah, tetapi kena harungi jambatan yang canggih ini.
“Dah setahun, tak ada perubahan langsung. Jambatan Gantung Pamah Aur Bukit Betong, Kuala Lipis,” tulis wanita berkenaan.
Majoriti netizen rata-ratanya ‘menahan nafas’ melihat kesukaran yang ditempuh dua beranak itu, biarpun ia merupakan hari pertama sesi persekolahan bermula hari ini.
Wanita itu juga memaklumkan, ada jalan lain yang boleh digunakan mengambil masa perjalanan sejauh 40 minit. Namun jalan itu tidak dapat digunakan kerana telah ditenggelami air.
“Kalaulah ada jalan konkrit, kami penduduk sini tak guna jambatan ini. Bukan nak mohon simpati atau bodoh ke nak tayang benda macam ni.
“Tetapi jambatan ini sudah setahun tak dibaiki. Penduduk di sini nak kerja, jalan inilah diorang meniti.” katanya lagi.
Bagaimanapun tinjauan Mynewshub mendapati bapa murid tersebut telah memohon maaf secara terbuka bersama wakil rakyat kawasan itu hari ini kerana tindakan isterinya memperbesarkan isu itu.
Malahan beberapa netizen turut menyelar Siti Zaharah kerana pihak Jabatan Kerja Raya sudah pun mengeluarkan tender untuk baik pulih jambatan itu tahun lalu dan kerja bakal bermula minggu ini.
Ada mengutuk wanita berkenaan sebagai sengaja memburukan imej pihak berkuasa walhal murid-murid lain tidak pula menggunakan jambatan rosak tersebut atau menularkan di media sosial.
Perkara itu turut disahkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi Twtter yang menjelaskan pihak berwajib menyiapkan projek itu dengan kos lebih RM400,000.
Difahamkan kerja berkenaan hanya mengambil masa sepuluh minggu dan buat sementara waktu penduduk boleh melalui jalan alternatif yang masih selamat digunakan. - Kedahnews.com