"KALAU betul salah, saya sepak muka dia la!" seloroh pelakon, Azad Jazmin ketika ditanya mengenai penahanan rakannya, Datuk Farid Kamil.
Menurutnya, ada faktor yang mungkin menyebabkan Farid Kamil menampar polis dan menendang orang awam, Khamis lalu.
"Tot (nama panggilan Farid Kamil), hang apa cerita? Awat bengong sangat pi sepak polis," katanya.
Katanya, Farid Kamil yang dikenali sejak 15 tahun lalu adalah berbeza dengan apa yang berlaku.
"Farid Kamil adalah seorang yang tidak akan terima tawaran berlakon sekiranya melibatkan babak buka baju," katanya.
Mengimbau zaman lalu, Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin John Louis Jeffri berkata, Farid Kamil tidak pernah melakukan perkara seperti itu meskipun dia selalu bergurau kasar dengan rakannya.
"Saya agak wild bila bergurau. Tak ada pula Farid Kamil sepak atau tumbuk saya," katanya.
Sebagai rakan, Azad berkata, beliau tetap akan memberi sokongan.
"Negara kita ada undang-undang. Salah tetap salah dan sebagai kawan saya support dia," katanya.
Justeru Azad meminta semua pihak termasuk peminat memberi ruang kepada keluarga Farid Kamil bagi menghadapi kes berkenaan.
"Farid Kamil ada anak dan isteri, begitu juga dengan anda.
"Jangan tambah garam, kita doakan yang terbaik," katanya.
Sementara itu, pelakon Azahan Rani berkata, beliau tiba di mahkamah bagi memberi sokongan kepada Farid Kamil.
Sumber: Sinar Harian