Obses terhadap makanan tambahan atau suplemen tanpa mengetahui maksud dan fungsi sebenarnya untuk tubuh badan hanya akan membawa keburukan berbanding kebaikan yang cuba dicari.
Walaupun suplemen sama ada luar negara atau produk tempatan kian tumbuh bak cendawan dan menjadikan pilihan banyak untuk pengguna, persoalannya, adakah semua suplemen itu selamat atau memudaratkan?
Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Khairul Nizam Mat Nayan baru-baru ini menyarankan individu yang sihat dan tiada sebarang masalah kesihatan tidak perlu mengambil makanan tambahan kesihatan (suplemen). Katanya, individu yang sihat jangan sesekali mengambil makanan tambahan itu untuk penjagaan kesihatan berdasarkan diagnosis sendiri semata-mata tanpa mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar terlebih dahulu.
Beliau menarik perhatian bahawa pengambilan makanan tambahan itu yang berlebihan sememangnya tidak memudaratkan kesihatan dalam tempoh jangka pendek, namun dikhuatiri boleh merosakkan organ dalaman bagi jangka panjang.
Contohnya pengambilan vitamin larut lemak seperti A, D, E, K yang berlebihan akan memberikan kesan kepada hati. Sungguh pun vitamin-vitamin ini diperlukan oleh tubuh, ia sebenarnya boleh didapati dengan mudah dan mencukupi daripada makanan semula jadi yang dimakan.
Sekiranya kita terlalu berlebihan mengambil vitamin tambahan ini, ia akan terkumpul di hati yang lama-kelamaan akan menjadi toksin sehingga menjejaskan fungsi hati.
Sementara itu, orang ramai turut tertarik dengan status dalam Facebook milik Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Dr. Rafidah Abdullah: “Berlambak di wad yang buah pinggangnya lagi cepat rosak sebab produk macam-macam. Pesakit kronik mohon JANGAN SENTUH produk apa pun!”
Mengulas lanjut isu tersebut, Pakar Perubatan Dalaman, Hospital Pakar KPJ Johor, Datuk Dr. M Singaraveloo memberitahu, makanan tambahan atau suplemen ialah elemen tambahan kepada diet harian dan membekalkan nutrisi yang lengkap sekiranya terdapat kekurangan di dalam diet harian.
“Suplemen mengandungi vitamin, mineral, asid amino, herba atau bahan dari tumbuh-tumbuhan yang digantikan di dalam bentuk pil, kapsul, tablet atau di dalam bentuk cecair. Suplemen digunakan sebagai tambahan di dalam diet untuk melengkapkan diet seimbang tetapi tidak boleh dianggap sebagai pengganti makanan,” jelasnya.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan menyarankan pengambilan makanan sihat menerusi ‘Malaysian Dietary Guidelines 2010’ yang menggariskan 14 mesej penting dengan salah satu mesej ditekankan adalah mengambil pelbagai jenis makanan mengikut piramid makanan. Justeru, individu yang sihat tubuh sudah memadai mengamalkan pemakanan seimbang daripada makanan semula jadi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta ikan untuk mengekalkan kesihatan yang baik.
Menjelaskan fungsi suplemen, Dr. M Singaraveloo Suplemen berkata, suplemen berfungsi untuk mengimbangi diet yang tidak mencukupi, meningkatkan imuniti dan juga meningkatkan kecergasan tubuh badan. Selain itu, suplemen juga boleh membantu meningkatkan stamina dan melindungi sistem badan dari jangkitan penyakit.
“Sesetengah suplemen boleh menyebabkan risiko pendarahan sekiranya diambil sebelum atau selepas pembedahan dan juga memberi kesan terhadap tindak balas tubuh kepada ubat bius (anesthesia). Kebanyakan suplemen mempunyai bahan aktif yang boleh memberi kesan terhadap tubuh badan terutamanya jika makanan tambahan diambil bersama ubat-ubatan yang lain,” katanya.
Dr. M Singaraveloo memberi contoh vitamin K boleh yang mengurangkan keupayaan ‘Coumadin’ bertindak balas untuk mengelakkan pembekuan darah, suplemen seperti ‘Wort St. John’ dapat mengurangkan keberkesanan ubat seperti antidepresen dan pil perancang. Suplemen antioksidan seperti vitamin C dan E pula dapat mengurangkan keberkesanan beberapa jenis kemoterapi kanser.
Sumber: Utusan Online