BAM Sedia Bantu Chong Wei


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) bersedia membantu jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei meminta pengecualian daripada menyertai 12 kejohanan Tahap 2 atau dikenali Siri Super.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, pihaknya akan menyediakan surat rayuan dan menyerahkan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam tempoh seminggu.

“Dalam surat berkenaan kita akan meminta mereka mengurangkan 12 kejohanan yang wajib disertainya. Ini kerana tahun ini saja dia mempunyai lima kejohanan tambahan,” kata Chin Chai ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, lima kejohanan berkenaan ialah Kejohanan Berpasukan Asia, Piala Thomas, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

“Jika dia berjaya melayakkan diri ke Siri Super Akhir seperti tahun lalu, ia akan bertambah lagi. Ini bermakna Chong Wei akan berdepan 16 hingga 19 kejohanan tahun ini. Ia terlalu banyak bukan hanya kepadanya tapi pemain yang berusia 30 tahun ke atas.

“Jadi, kita akan buat rayuan dan perkara ini tidak perlu dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T), Khamis ini. Ini kerana saya sudah bincang dengan Chong Wei, malah dia sudah maklumkan kepada BWF ketika di Dubai bulan lalu (Siri Super Akhir),” katanya.

Menurut Chin Chai, jika BAM tidak melakukan rayuan ia akan mendatangkan masalah kepada Chong Wei yang bakal dikenakan denda oleh BWF kerana tidak menyertai kejohanan besar yang wajib ke atas dirinya.

“Pada usia 35 tahun, peraturan BWF itu agak sukar. Ini kerana terlalu banyak kejohanan yang disertai menyaksikan dia berdepan risiko kecederaan sedangkan kita masih memerlukan khidmatnya selama mana yang boleh,” katanya.

Semalam Chong Wei berharap BWF dapat memberikannya pengecualian daripada beraksi dalam semua 12 kejohanan Tahap 2 pada 2018.

Chong Wei yang juga pemain nombor dua dunia berkata, dengan usianya adalah mustahil menyertai semua kejohanan yang diwajibkan itu, apatah lagi dia juga perlu beraksi dalam beberapa lagi kejohanan utama termasuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Berdasarkan peraturan BWF, semua pemain 10 terbaik dunia wajib beraksi dalam 12 kejohanan Tahap 2 dan jika gagal menyertainya tanpa alasan kukuh, pemain boleh didenda.

Sumber: MyMetro