'Bawang Tanpa Air Mata' Diperkenalkan


JIKA anda pernah memotong bawang, anda pasti pernah berdepan dengan masalah yang agak menjengkelkan apabila anda perlu 'menangis' di dapur.

Selain memakai pelindung atau mengamalkan beberapa petua, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk mengatasi masalah ini.

Para saintis dan petani telah mengusahakan penyelesaian untuk masalah ini selama beberapa dekad dan mereka kini nampaknya telah menghasilkan 'bawang tanpa air mata'.

Dipanggil 'Sunions', jenis sayur-sayuran baharu ini adalah hasil program penanaman semula jadi yang telah diusahakan di ladang-ladang di Nevada dan Washington sejak tahun 1980-an.

Ia semestinya akan membuatkan pengguna bimbang tentang hasil ini yang diubah suai secara genetik.

Sunions merupakan bawang merah manis dengan rasa bawang yang sederhana serta tidak meninggalkan kesan yang kuat selepas memakannya.

Tetapi apa yang benar-benar membezakannya dengan kebanyakan jenis bawang lain adalah ia tidak memedihkan mata apabila dikupas, dipotong atau dicincang.

Apabila anda memotong bawang biasa, ia melepaskan sebatian tidak menentu yang dipanggil 'lachrymatory-factor synthase', dan apabila ia terkena mata, tubuh secara langsung akan menghasilkan air mata.

Satu lagi perkara yang menarik tentang bawang biasa ini adalah jumlah 'lachrymatory-factor synthase' akan meningkatkan selagi ia disimpan, jadi lebih lama ia dibiarkan, semakin banyak air mata yang akan keluar.

Sunions, didakwa sebaliknya, kerana semakin lama ia disimpan, semakin berkuranglah lachrymatory-factor synthase, malah hampir tidak memberi kesan 'air mata' apabila ia disimpan sangat lama.

Inilah kebaikan yang didakwa oleh penanam Sunions, tetapi hanya laporan daripada mereka yang mencubanya yang dapat mengesahkan dakwaan ini.

Tiga wartawan The Huffington Post telah memotong beberapa biji bawang Sunions dan nampaknya tiada seorang pun yang mengeluarkan air mata.

Menurut Washington Post, bawang ini tidak mempunyai rasa yang 'kuat' seperti bawang biasa, rasanya sangat manis sehingga ia boleh dimakan seperti popcorn.

Jadi bawang tanpa air mata kini telah wujud.

Cuma, ia kini hanya ditanam di Washington dan Nevada dan walaupun ia dijual di seluruh negara, ia masih tidak mampu menawarkan bekalan yang banyak.

Kumpulan pertama bawang Sunions telah dijual di kedai runcit pada Disember, tetapi ia mungkin akan dilihat di kebanyakan kedai runcit dan pasar raya dalam beberapa tahun akan datang kerana lebih ramai orang sedar mengenainya.

Menariknya, walaupun Sunions dipasarkan sebagai bawang tanpa air mata yang pertama di dunia, pada tahun 2015 terdapat tulisan mengenai ciptaan yang sama dari syarikat Jepun, House Foods Group.

Mereka mendakwa turut mencipta bawang tanpa air mata pertama di dunia dengan melumpuhkan sebatian yang dilepaskannya apabila dicincang.

Sumber: Mstar Online