Bayi Jantung Berlubang Lahir Di Hospital Kulim Perlu Sumbangan


ALOR SETAR  - Bayi berusia setahun tujuh bulan, Nur Aisyah Dalila Abd Rahim yang mengalami masalah jantung berlubang, memerlukan sumbangan sebanyak RM60,000, bagi membiayai kos pembedahannya.

Nur Aisyah Dalila yang dilahirkan di Hospital Kulim, dikesan mengalami masalah kesihatan tersebut sejak berusia dua hari.

Bagi ibunya, Rositah Kamil, 41 berkata, anaknya bukan saja mengalami masalah jantung berlubang tetapi paru-parunya juga tersumbat.

"Penyakit anak saya dikesan pada hari kedua selepas dilahirkan. Saya terkejut melihat badannya menjadi biru apabila dia menangis.

"Selepas dibuat pemeriksaan, doktor mendapati saluran jantung ke paru-parunya tertutup dan ada lubang pada jantungnya yang menyebabkan darah merah dan biru bercampur.

"Saya kena sentiasa pantau pergerakannya dan sekiranya dia terlebih aktif bermain, dia akan mengalami sesak nafas kerana oksigen dalam badannya berkurangan," kata suri rumah itu.

Memetik BH Online, Rositah berkata, anaknya perlu dibedah dengan segera di Hospital Gleneagles dan beliau memohon bantuan orang ramai untuk menghulur sumbangan demi menyelamatkan nyawa anaknya.

Bantuan boleh disalurkan menerusi akaun Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Malah,cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27148977. - Kedahnews.com