KONVENSYEN Pakatan Harapan pada Ahad lalu telah membuktikan kepada dunia bahawa blok pembangkang di Malaysia merupakan pembangkang yang paling teruk di dunia.
Sejak tertubuhnya pembangkang utama sekitar 60 hingga 70 tahun lalu telah membuktikan bahawa tiada seorang pun pemimpin daripada parti-parti ini layak menerajui pembangkang dan dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
Begitu juga dengan PKR, PAN dan PPBM yang merupakan serpihan daripada parti besar di negara ini yang turut tidak dapat menampilkan calon untuk memimpin negara ini yang lahir daripada kilang mereka sendiri.
Apa yang mereka tampilkan konon sebagai ‘harapan’ terbaharu mereka adalah individu yang pernah lahir daripada kilang UMNO sendiri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selama mana parti-parti ini tertubuh dan menjadi pembangkang di negara ini adakah mereka tidak dapat menampilkan seorang calon yang lahir daripada kilang mereka sendiri sebagai calon Perdana Menteri sendiri.
Secara tidak langsung, ini membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO sahaja yang berjaya melahirkan ramai pemimpin yang layak menjadi calon Perdana Menteri dan bukannya parti pembangkang yang lain!
Sikap hipokrit Pakatan Harapan juga terbukti apabila meletakkan Mahathir; individu yang mereka kecam selama beliau bersama UMNO sebagai pemimpin paling korup di Malaysia dan mengamalkan pemerintahan secara diktator sebagai calon Perdana Menteri.
Di mana pegangan DAP dan PKR selama mana sebelum ini meletakkan asas perjuangan untuk menentang BN dan UMNO kerana kebencian mereka terhadap sifat, sikap dan perilaku Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia ke-4 selama 22 tahun?
Perlu diingatkan berulang kali bahawa asas perjuangan PKR adalah menentang kezaliman Mahathir kerana kononnya beliau telah menganiaya Anwar dengan memfitnah, mengasari dan memenjarakan Anwar sekitar era reformasi dahulu.
PKR itu sendiri ditubuhkan kerana menentang Mahathir.
Dan kini, isteri kepada individu yang ‘dibogelkan’ oleh Tun Mahathir, kini boleh berdakapan dan berkongsi meja demi mendapatkan keuntungan politik masing-masing.
Dengan berlakunya dakapan seperti ini, secara jelas PKR sudah tidak releven lagi untuk menjadi sebuah parti politik yang terus menerus memperjuangkan keadilan kerana ketika ini, mereka sendiri sanggup mengenepikan keadilan mereka demi mendapatkan kuasa politik untuk memerintah negara.
Begitu juga dengan DAP terutamanya pemimpin de facto mereka iaitu Lim Kit Siang yang selama ini konsisten menentang Mahathir dengan pelbagai tuduhan korupsi, salah laku, dan menindas hak asasi manusia.
Kit Siang sendiri yang mengepalai beberapa tuntutan terhadap salah laku Mahathir terutamanya mengenai insiden Mamali, kes Forex, Perwaja Steel, PKFZ dan pelbagai lagi salah laku Mahathir yang terkenal.
Dengan keputusan Pakatan Harapan menjadikan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sekali gus membuktikan bahawa Pakatan Harapan merupakan pembangkang paling teruk dalam sejarah Malaysia dan barang kali di dunia!
Hipokrit, tiada integriti dan tidak mempunyai prinsip perjuangan merupakan sifat terbaik untuk menggambarkan Pakatan Harapan ketika ini.
Nukilan: Bekas Pejuang Reformasi 1998