ALOR SETAR - Penantian seorang ibu yang juga wanita warga Thailand, Alice Jarong, 28, mahu memeluk anaknya, Alif Hiransumton, 4, yang didakwa dilarikan bekas pekerja kedai makan ibunya sejak dua tahun lalu berakhir apabila kanak-kanak itu diserahkan semula kepadanya, malam tadi.
Alif atau lebih dikenali sebagai Adam dipercayai dibawa ke Johor oleh pekerja wanita yang berasal dari Gurun, Kedah terbabit yang juga pengasuhnya selepas ibunya pulang ke negara asal pada 2015.
Berkongsi berita gembira itu, Alice berkata, wanita tersebut bersama anaknya menaiki bas dari Johor sebelum tiba di Bahau pada 11 malam sebelum menyerahkan Adam kepada seorang kenalan untuk diserahkan kepadanya.
"Saya bersyukur kerana penantian untuk memeluk Adam berakhir dan saya mengucapkan terima kasih kepada wanita berkenaan kerana memulangkan semula anak saya.
"Saya akan pulang ke Thailand, Khamis ini dan mendaftarkan Adam untuk bersekolah di sana," katanya memetik MyMetro.
Pada masa sama, Alice turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang turut membantu mencari anaknya itu.
Katanya, berikutan pemulangan anaknya, dia telah pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol untuk menarik balik laporan polis, petang ini.
"Adam tidak pandai bertutur dalam bahasa Siam, jadi saya perlu mengajarnya semula dan itu satu cabaran bagi saya," ujarnya.
Baru-baru ini, akhbar telah melaporkan Alice mendakwa anak lelakinya dilarikan bekas pekerja kedai makan ibunya yang juga warga tempatan sejak dua tahun lalu.
Alice yang berasal dari Pattani mendakwa kejadian berlaku selepas ibunya menyatakan hasrat mahu menutup perniagaannya menyebabkan wanita itu menghilangkan diri bersama anaknya pada April 2015.
Wanita berusia 40-an itu pernah bekerja di kedai makan milik ibunya di Bandar Baru Serting pada 2014 dan amat rapat dengan keluarga mereka sebelum ini.
Pada waktu itu, Adam baru berusia tujuh bulan dan dibawa Alice ke daerah ini kerana mahu membantu ibunya menguruskan kedai makan berkenaan.
Namun begitu, pada awal 2015, Alice terpaksa pulang ke Pattani kerana anak sulung mula bersekolah dan meninggalkan Adam bawah jagaan ibu.
Pada masa sama, wanita berkenaan meminta kebenaran untuk menjaganya dan mereka mengizinkan kerana dia kerap membawa Adam ke premis itu setiap hari.
Walaupun pelbagai usaha dilakukannya untuk mencari wanita itu termasuk membuat hebahan di Facebook serta mengunjungi rumah keluarganya di Gurun, namun gagal.
Akhirnya dengan bantuan seorang kenalan Facebook, dia memperoleh nombor telefon wanita itu dan berjaya menghubunginya, Khamis lalu, sebelum merayu supaya anaknya dikembalikan. - Kedahnews.com