Beli Q'Fish Jika Harga Ikan Melambung: NEKMAT


ALOR SETAR - Pelbagai jenis ikan sejuk beku atau Q'Fish disediakan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) perlu dimanfaatkan orang ramai sebagai alternatif sekiranya kenaikan harga secara mendadak di negeri ini akibat nelayan sukar ke laut ketika perubahan angin monsun timur laut.

Menurut Ahli Lembaga Persatuan Nelayan Kedah, Abdul Hamid Bahari, berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana pelbagai jenis ikan sejuk beku atau Q'Fish yang disediakan NEKMAT dapat dijadikan sebagai alternatif.

"Orang ramai mempunyai pilihan untuk membeli pelbagai jenis ikan Q'Fish dengan harga lebih berpatutan iaitu di bawah RM10 sekilogram yang dipasarkan NEKMAT.

"Kesegaran Q'Fish ini terjamin kerana ia dibekukan melalui kaedah Mesin Pembekuan Cepat Individu (IQF) di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran (CCDC) di Kuala Kedah, di sini yang berupaya menyimpan 650 tan hasil laut untuk kegunaan ketika musim kekurangan bekalan ikan negara," katanya ketika dihubungi.


Tinjauan semalam mendapati harga pasaran ikan kembung melonjak sehingga RM20 sekilogram sejak sebulan lalu.

Selian peniaga ikan di pelantar Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah terpaksa menjual hasil tangkapan yang diperoleh untuk memenuhi permintaan walaupun jumlahnya agak sedikit.

Abdul Hamid yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan kenaikan harga ikan, kerana ia hanya bersifat sementara.

Jelas beliau, nelayan terpaksa menjual ikan dengan harga lebih tinggi disebabkan ombak besar yang menjadikan hasil tangkapan kurang.

"Terdapat 10,000 nelayan yang terkesan akibat perubahan angin monsun timur laut ini dan hanya segelintir sahaja yang akan turun ke laut bergantung kepada keadaan cuaca...sekiranya hasil tangkapan kurang, mereka terpaksa menjual ikan dengan harga tinggi untuk menampung kos.

"Contohnya jika sebuah bot hanya daratkan lima kilogram ikan kembung, mereka akan naikkan harga bagi menampung kos bahan api yang mencecah ratusan ringgit...ini kerana mereka perlu pergi jauh ke laut untuk memastikan dapat pulang dengan hasil walaupun sedikit, ia turut mengerah keringat mereka," katanya memetik BH Online.

Beliau berkata, harga ikan kembung kini antara RM12 hingga RM15, berbanding RM6 hingga RM8 sebelum ini dan ia dijangka kembali stabil bulan depan sekiranya keadaan cuaca bertambah baik. - Kedahnews.com