ALOR SETAR - Khabar angin berkenaan bekas pemain pertahanan import Kedah, Zac Anderson bakal menyertai PKNS FC mungkin menjadi kenyataan apabila pengurusan kelab itu mengesahkan rundingan sedang berlangsung antara kedua-dua pihak.
Menurut Pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, setakat ini rundingan menunjukkan tanda positif dan kata putus dijangka akan dicapai dalam beberapa hari lagi.
"Saya boleh sahkan memang kami berminat untuk membawa Zac menyertai PKNS bagi mengukuhkan bahagian pertahanan. Namun, setakat ini dia belum menjadi milik kami.
"Rundingan sedang berjalan dengan peluang untuk mendapatkan khidmat pemain itu boleh dikatakan 50-50. Saya jangka kata putus akan diperoleh dalam minggu ini juga," kata Mahfizul.
Memetik BH Online beberapa hari lalu, pemain import dari Australia itu dikaitkan dengan PKNS selepas sekeping gambar yang dikongsi di laman sosial Facebook kelab berkenaan menunjukkan kelibat seorang lelaki sedang menyaksikan sesi latihan pasukan itu dengan keterangan gambar "seseorang telah tiba".
Walaupun gambar itu dirakam dari arah belakang tanpa mendedahkan wajah individu berkenaan peminat dapat meneka dia adalah Anderson.
Rata-rata penyokong PKNS FC memberi komen positif dengan menganggap kehadiran Anderson bakal memperkukuhkan cabaran skuad kendalian Datuk K Rajagobal musim ini.
"Senang betul nak cam Zac Anderson ni. Huhuhu," kata seorang pengguna Facebook, Amin Zulkarnain.
"Zac player import paling frenly (peramah) dengan penyokong kedah," kata Muhamad Shahril Ramlee Yen .
"Wowww zac anderson ex kedah ni..hehehe," kata Putera Bendang.
Meskipun hanya semusim bersama Kedah, Anderson cukup disayangi penyokong skuad Helang Merah ketika pemain itu muncul antara watak penting buat pasukan menjulang Piala FA, naib juara Piala Malaysia dan menduduki tangga keempat Liga Super.
Jika Anderson menyertai The Red Ants , ia adalah pembelian import ketiga bagi kelab itu selepas menandatangani Romel Romales Ramirez dari Colombia dan pemain Singapura, Faris Ramli, baru-baru ini.
Malah, sikap pemain itu yang ramah menyebabkan dia sangat disenangi serta disayangi penyokong Sang Helang Merah.
Namun, kontraknya tidak disambung sebaik sahaja ia berakhir pada 30 November lalu. - Kedahnews.com