Bina Tembok Berkos RM300,000 Di Kulim Atasi Longkang Runtuh


KULIM – Pembinaan tembok penahan yang menelan kos RM300,000 kini giat dijalankan bagi menyelesaikan masalah longkang konkrit yang runtuh di Taman Bersatu di sini pada November tahun lalu akibat banjir.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kulim, Chua Thiong Gee berkata tembok penahan sepanjang 114 meter itu dijangka siap sebelum perayaan Tahun Baharu Cina nanti.

“Ini adalah antara cara untuk melindungi longkang konkrit itu daripada terus runtuh terutama ketika berlaku hujan lebat dan banjir.

“Bagi kerja pembinaan ini, kita telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kulim dan Jabatan Kerja Raya bagi mempercepat kerja baik pulih memandangkan ia sudah lama menimbulkan masalah kepada penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat kawasan runtuhan tersebut semalam.

Beliau turut meminta penduduk bersabar sepanjang kerja baik pulih tersebut dijalankan.

Dalam pada itu, Chua menggesa masyarakat yang mempunyai masalah agar membuat aduan kepada pihak sepatutnya dan bukan menularkan perkara tersebut menerusi media sosial.

“Masyarakat juga perlu faham, kadangkala kita mengambil masa untuk menyelesaikan aduan kerana perlu tunggu peruntukan untuk selesaikanya,” katanya. – Bernama