BN Kedah Tunai Janji Tawar 40,000 Unit Rumah Mampu Milik


ALOR SETAR - Kerajaan BN Kedah menunaikan janji yang ditaburkan kepada rakyat apabila lebih 40,000 unit rumah mampu milik diluluskan di negeri ini sepanjang lima tahun ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, rumah mampu milik yang dibangunkan oleh kerajaan negeri mahupun pemaju swasta telah melepasi sasaran dan jumlah keseluruhan yang dijanjikan.

“Kelulusan membangunkan projek perumahan melebihi 40,000 unit, namun sebahagian pemaju ambil sedikit masa untuk bina, kerana mereka perlu sesuaikan dengan suasana ekonomi semasa dan menunggu masa sesuai untuk laksana,” katanya.

Beliau berkata selepas majlis pecah tanah perumahan bercampur SK Grand Development Sdn Bhd seluas 2.7 hektar di Alor Keladi, Mukim Langgar, semalam.

Ujar Ahmad Bashah, kelulusan yang diberikan merangkumi kesemua daerah di negeri ini di mana turut tersenarai projek perumahan bawah kerajaan negeri dan kerjasama swasta.

“Antaranya, rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), serta Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia (RMR1M) bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya.

Bagi proses pemilikan pula pihaknya memberi keutamaan kepada permohonan yang telah dibuat menerusi majlis daerah serta memenuhi syarat ditetapkan.

“Kerajaan negeri juga aktifkan semula jawatankuasa pra Exco tanah bagi menyelesaikan lambakan fail permohonan pembangunan hartanah. Ini kerana permohonan yang diterima terlalu banyak, ini antara usaha mempercepatkan proses sebelum diputuskan dalam mesyuarat Exco,” katanya.

Menurutnya, terdapat fail yang tersadai sehingga dua tahun dan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Mohon pejabat tanah proses secepat mungkin, jika tidak pemaju akan ubah perancangan daripada bina rumah untuk rakyat kepada industri. Kita perlu proaktif kerana sambutan menggalakkan selain mahu capai sasaran satu rumah setiap keluarga,” katanya.

Ahmad Bashah turut mempelawa lebih ramai pemaju tampil membangunkan kawasan pegangan bebas mahupun tanah rizab Melayu, kerana keduanya berpotensi untuk memenuhi permintaan 2.2 juta rakyat Kedah.

“Ramai pemaju pilih untuk bangunkan kawasan pegangan bebas, namun kita perlukan pembangunan seimbang termasuk pinggir bandar, di mana terdapat daerah yang perlukan pembangunan.  Pembangunan atas tanah rizab Melayu juga boleh dibangunkan kerana bumiputera juga mampu membeli unit yang ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya. - Kedahnews.com