BN Kota Janji Bakal Mula Bina UiTM Kampus Di Baling


ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mengotakan janji bagi membina Projek kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Baling dan pembinaannya dijangka bermula tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kelulusan daripada kerajaan dan perbincangan mengenai pembinaannya telah diadakan dan kini memasuki peringkat akhir.

“Perbincangan dilakukan de­ngan Kementerian Pendidikan Tinggi dan UiTM serta beberapa pihak lagi bagi mewujudkan sebuah pusat pengajian tinggi berteraskan Sains Sukan.

“Proses pengambilan tanah ladang kelapa sawit seluas 161.263 ekar (65.26 hektar) telah dilakukan dan kini hanya menunggu proses pelaksanaan pembinaannya,” katanya.

Beliau berkata ketika melawat tapak cadangan kampus tersebut di Kampung Bandar di Baling, pada Sabtu lalu.

Turut sama hadir Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan Tinggi, Zulkefli Alias dan Pegawai Daerah, Datuk Md. Shuhaime Abdul Rahman.

Apa yang difahamkan Azeez, beberapa kemudahan utiliti dan prasarana seperti bekalan air, elektrik, sekolah, masjid serta jalan raya telah tersedia ada menjadi pendorong kawasan tersebut dipilih sebagai tapak UiTM.

“Ia juga terletak di laluan Ba­ling ke Durian Burung dan jarak ke pekan Baling hanya sembilan kilometer (km) sahaja,” katanya.

Tambahnya, projek tersebut bakal memberi manfaat kepada penduduk sekitar kawasan terbabit serta turut memberi peluang kepada pelajar dari negeri-negeri berhampiran seperti Kelantan, Perlis dan Perak turut sama menuntut ilmu di sini.

“Pembinaan UiTM ini juga akan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk kampung dan menghidupkan semula pekan Baling.

“Selain masjid daerah dan hospital pakar, inilah salah satu janji yang termaktub dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan ditunaikan untuk pembangunan rakyat di sini,” katanya. - Kedahnews.com