BN Tidak Pilih Kasih Hulur Bantuan Kepada Rakyat


PEKAN – Barisan Nasional (BN) tidak pernah pilih kasih atau ‘pilih bulu’ dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat negara ini, kata Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sebaliknya, kata beliau, bantuan diberikan secara sama rata tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun parti politik keluarga penerima.

“Bersyukurlah kepada Allah SWT di atas rezeki yang diterima kerana masih ramai lagi yang tidak bernasib baik seperti anak-anak di negara yang bergolak.

“Melalui pengalaman saya sendiri selaku Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia yang menghantar bantuan ke negara bergolak seperti Palestin dan Rohingya, negara kita jauh lebih baik dan kita seharusnya sentiasa bersyukur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan persekolahan ‘Happy to School’ kepada 2,000 murid sekolah rendah dalam Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Anggota Parlimen Pekan.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata rakyat juga seharusnya ‘membuka mata’ dalam melihat semua usaha BN yang sarat dengan kebajikan.

“Program ‘Happy to School’ bukan setakat Parlimen Pekan sahaja, tetapi menjelajah ke 78 Parlimen di seluruh negara termasuk 12 kawasan Parlimen di Sabah.

“Saya berharap semua bantuan ini dapt dimanfaat bagi memastikan keperluan pelajaran anak-anak sentiasa terjaga walaupun kita menghadapi kesulitan dan ujian dalam kehidupan,” katanya.  – Bernama