BNM Ajar Rakyat Changlun Kenali Ciri-Ciri Wang Tulen, Wang Palsu


ALOR SETAR – Satu program Pendidikan Mata Wang dianjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam bertempat di pasar malam Changlun sebagai langkah mengelakkan orang ramai khususnya peniaga daripada menjadi mangsa penipuan wang palsu.

Ketua BNM Pulau Pinang, Hasjun Hashim berkata, orang awam sebenarnya boleh mengesan dengan sendirinya mata wang Ringgit yang palsu yakni melalui 10 ciri keselamatan 

Antaranya cetakan timbul, potret tanda bayang, tanda pandang telus pada angka 100 (bagi RM100), benang keselamatan kanta makro, petak kilat berwarna dan benang serat keselamatan.

Selain itu, inisiatif BNM turut membangunkan aplikasi My Ringgit yang boleh dimuat turun menggunakan Google Playstore pada telefon pintar untuk membuat imbasan pada wang kertas, katanya kepada pemberita pada program itu.

Pada program itu, Hasjun turut mengedarkan pamplet ‘Kenali Mata Wang’ kepada orang ramai dan peniaga di pasar malam itu untuk dijadikan sebagai rujukan.

Difahamkan bahawa sehingga kini enam pasar malam di wilayah utara telah dikunjungi BNM iaitu lima di Pulau Pinang dan satu di Kedah.

Kunjungan itu bagi memberi kesedaran dan pendidikan asas kepada orang ramai khususnya peniaga untuk membezakan wang tulen dan wang palsu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga dan Pasar Malam Daerah Kubang Pasu, Shaimi Ahmad berkata, program diadakan BNM itu dapat membantu para peniaga dan orang ramai daripada ditipu pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan mereka menanggung kerugian.

“Penerangan dan demontrasi yang diberikan pihak BNM membolehkan kami (peniaga) lebih tahu untuk membezakan wang tulen dan wang palsu,” katanya.


Peniaga soto, Faiizah Ismail, 54, berkata, setakat ini beliau belum pernah menerima wang palsu daripada pelanggan.

“Program ini patut diadakan sekerap mungkin agar mereka yang tidak bertanggungjawab tahu tindakan mereka sedang diawasi dan seterusnya dapat mengelak kes-kes penipuan duit palsu terus berlaku,” katanya. - Kedahnews.com