BNM Anjur Karnival Kewangan Kedah 19 Jan Ini


ALOR SETAR - Bank Negara Malaysia (BNM) menyasarkan seramai 20,000 pengunjung akan menghadiri Karnival Kewangan Kedah tiga hari anjurannya, mulai 19 Jan ini di TH Hotel & Convention Centre di sini.

Ketua Pejabat BNM Pulau Pinang Hasjun Hashim berkata dengan penganjuran karnival bertemakan ‘Utamakan Keperluan Kewangan Anda’ itu orang ramai  akan  mendapat manfaat mengenai pengurusan  kewangan yang betul serta meningkatkan  kesedaran mereka terhadap produk dan perkhidmatan kewangan.

“Terdapat 53 pempamer akan menyertai karnival ini iaitu 19 daripadanya adalah pihak bank, 11 daripada syarikat insurans dan takaful manakala 23 lagi daripada persatuan dan agensi kerajaan berkaitan,” katanya pada sidang media mengenai karnival itu di sini, semalam.

Beliau berkata keseluruhan karnival itu akan mengaplikasikan konsep pusat sehenti untuk belajar sambil berhibur dengan pelbagai tarikan seperti pocket talk tentang hal ehwal kewangan, penampilan selebriti, konsert mini, cabutan bertuah dan sudut kanak-kanak bersama maskot.

“Ada Ustaz Don (Daniyal), lepas itu kita ada penyanyi Syamel, Wany Hasrita, maskot Upin Ipin, Vince (peserta Akademi Fantasia 1) dan Caliph Buskers. Selain itu, menerusi karnival ini kita juga menawarkan hadiah bernilai lebih RMM150,000 kepada orang ramai yang hadir nanti,” katanya.

Hasjun berkata orang ramai juga boleh  menjalankan  pelbagai  transaksi kewangan seperti mendaftar  akaun eCCRIS termasuk menyemak status eCCRIS mereka, memohon pembiayaan perniagaan  serta  mendapatkan produk insurans dan takaful pada karnival itu.

Beliau berkata individu dalam golongan B40 juga berpeluang mendapatkan maklumat untuk menjana pendapatan tambahan menerusi program e-Usahawan bawah pelaksanaan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) sepanjang penganjuran karnival itu.

“Selain itu, golongan pesara  juga boleh mendapatkan maklumat cara menguruskan  wang persaraan mereka supaya tidak membuat pelaburan tidak betul,” katanya.

Katanya BNM turut menyediakan perkhidmatan Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) Bergerak BNM (BNM MobileLINK) pada karnival itu nanti. - Bernama