Bola Dapat Tiket ‘Kelas A’


KUALA LUMPUR - Prestasi mengagumkan skuad negara dalam Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) dijangka melayakkan mereka beraksi pada Sukan Asia 2018 menerusi ka­tegori A.

Walaupun Maj­lis Olimpik Malaysia (MOM) se­belum ini meletakkan bo­­la sepak dalam kategori B, namun aksi yang ditunjukkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee dalam tempoh dua minggu ini bakal merubah nasib mereka.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo mengakui, bola sepak masih berpeluang mendapat tiket kategori A berdasarkan prestasi terkini.

“Sukan yang memenangi pi­ngat emas dalam Sukan SEA belum boleh tarik nafas lega, sebab pencapaian di temasya itu kita tak pandang sangat.

“Bola sepak masih berpeluang (beraksi atas kategori A) tetapi bukan bola sepak sahaja, sukan lain juga ada peluang.

“Buat masa ini, MOM belum buat keputusan sukan mana ber­ada dalam kategori A dan B. Kita akan lakukan pada mesyuarat pemilihan kedua yang dijangka awal atau pertengahan Mac depan.

“Di situ baru kita akan tetapkan kategori untuk setiap sukan yang terlibat bergantung kepada justifikasi yang diserahkan mereka,” kata Beng Choo ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada Kejohanan AFC B-23, Malaysia berjaya ke suku akhir hanya dalam penampilan sulung, malah menunjukkan keputusan memberangsangkan termasuk mengejutkan naib juara 2013, Arab Saudi 1-0 serta mengikat Jordan 1-1.

Skuad bimbingan Kim Swee juga memberi tentangan hebat ketika tewas tipis 1-2 kepada naib juara 2016, Korea Selatan pada suku akhir.

Kata Beng Choo lagi, semua sukan, termasuk bola sepak perlu menyerahkan justifikasi kukuh berdasarkan prestasi semasa, pelan, latihan termasuk ­ranking di peringkat Asia pada mesyuarat pemilihan kedua, Mac ini.

Bagi kategori A, semua kos menyertai temasya akan ditanggung MOM, manakala kategori B, persatuan sukan perlu menanggung kos dan bayaran boleh dituntut jika mereka berjaya meraih pi­ngat.

Menurutnya, MOM tidak me­netapkan had sukan yang akan mengisi kategori A atau B, sebalik­nya ia bergantung kepada kemampuan mereka memenuhi kriteria.

“Kita tak tetapkan sebab kalau kita buat begitu, boleh timbul kecelaruan. Bayangkan kalau kita tetapkan kepada 10 sukan, namun yang melepasi kriteria ada 15, bukankah ia tidak adil?,” katanya.

Sementara itu, Kim Swee enggan melatah apabila Jawatankuasa Pemilihan MOM yang bermesyuarat dua ming­gu lalu memutuskan untuk menghantar bola sepak atas kategori B.

“Terpulang kepada MOM untuk menentukan sama ada kami layak dalam kategori A atau sebaliknya. Tiada masalah.

“Terpulang kepada MOM kerana saya fikir hak ber­ada di tangan mereka,” katanya.

Sukan Asia akan berlangsung di Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September.

Sumber: Utusan Online