"Buat Laporan Polis Untuk Dilindungi, Tak Tuduh Ifa Cuba Bunuh Saya"- Roslan Shah


PENGACARA Roslan Shah menjelaskan dia tidak menuduh mana-mana pihak termasuklah penyanyi Ifa Raziah yang kononnya mengupah pembunuh menembak dirinya dalam laporan polis yang dibuat pada 16 Januari lalu.

Roslan berkata, dia bertindak membuat laporan polis untuk melindungi dirinya selain meminta polis melakukan siasatan selepas ditunjukkan sebuah video.

“Banyak timbul cerita yang tidak benar terutamanya kisah kononnya saya mendakwa seorang rakan artis telah mengupah orang untuk membunuh saya. Itu adalah 'spin' story yang saya rasa perlu diperbetulkan.

“Saya tidak pernah menuduh mana mana artis termasuk Ifa Raziah yang mengupah orang membunuh saya.

“Sebaliknya kalau diteliti lebih rapi, saya pula yang menjadi mangsa fitnah yang bertalu-talu semenjak sebulan lalu.

“Dalam laporan itu, saya memberitahu pihak berkuasa bahawa saya merasa amat takut dan bimbang akan keselamatan diri saya dan keluarga saya.

“Tujuan sebenar saya membuat laporan ini supaya pihak polis membuat siasatan dan diri saya dilindungi. Itu sahaja,” tegasnya.

Dalam pada itu, Roslan menjelaskan dia membuat kenyataan balas terhadap isu tersebut selepas menerima provokasi melampau.

“Saya ingin memaklumkan bahawa bukan saya yang memulakan persengketaan kami.

“Sebaliknya komen-komen Ifa Raziah di beberapa laman sosial kawan- kawan artis yang berpanjangan mengutuk dan menghina saya terlebih dahulu bermula pada tarikh 1 Disember 2017 lagi.

“Selepas tidak tahan di provok oleh dia, barulah saya menjawab dan membalas kenyataan dia.

“Saya juga manusia yang lemah, saya pun boleh jadi marah dan tertekan kerana kata-kata melampau yang diucapkan oleh seorang perempuan seperti dia secara terbuka,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai hubungannya dengan Ifa, Roslan memberitahu dia tidak mempunyai masalah untuk memaafkan penyanyi itu.

“Sebagai manusia biasa, saya ada buat silap. Silap saya adalah tidak boleh bersabar dengan provokasi melampau dia dan saya juga jadi melenting marah dan membalas kata-kata dia.

“Tetapi, saya anggap sebagai manusia saya tidak ada masalah untuk meminta maaf dan juga memberi kemaafan kepada sesiapa sahaja termasuk Ifa Raziah.

Sumber: Astro Awani