ALOR SETAR -Penggunaan bubu naga yang semakin berleluasa ketika ini meresahkan nelayan di Kampung Sungai Muda, Kota Kuala, di sini, apabila mendakwa aktiviti itu menyebabkan hasil tangkapan ikan dan udang makin terjejas.
Memetik MyMetro, bubu naga sepanjang lima hingga 10 meter setiap satu mudah digunakan kerana hanya perlu diletakkan di laut dan setiap pagi, nelayan hanya pergi mengutip hasilnya saja.
Oleh yang demikian, keadaan tersebut berbeza dengan nelayan di Kampung Sungai Muda yang menggunakan pukat hanyut bagi aktiviti menangkap ikan, udang dan ketam dengan terpaksa menurun dan menaikkan pukat setiap kali ke laut.
Bagi seorang nelayan yang mahu dikenali sebagai Azman, 30, berkata, penggunaan bubu naga oleh nelayan di kampung bersebelahan amat dikesali, namun mereka tidak dapat mengambil tindakan kerana tidak mahu mencari masalah. - Kedahnews.com