KUALA LUMPUR - Sekumpulan NGO membidas tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalankan ujian pengesahan jantina terhadap usahawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman.
Badan-badan bukan kerajaan itu berpendapat seseorang tidak berhak dipaksa untuk menjalankan ujian kerana alat kelamin tidak menentukan kesahihan identiti jantina individu.
“Kami percaya tidak ada seorang pun yang perlu diarah menjalani ujian perubatan untuk menentukan identiti jantina.
“Proses ini ternyata mengganggu, merendahkan, tiada perikemanusiaan dan paling penting tidak perlu dibuat,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dibuat gabungan 14 NGO termasuk Sisters in Islam (SIS), Empower, Justice for Sisters and Trans men Malaysia, dan Komuniti Muslim Universal.
Jakim minggu lalu berkata tempoh masa sekurang-kurangnya sebulan diperlukan untuk proses pengesahan jantina Nur Sajat.
Keputusan dibuat selepas wakilnya Dr Mohd Izwan Md Yusof mengadakan pertemuan dengan pengasas produk Let’s Cantik itu pada 16 Januari lalu.
Sumber: MalayMail