POLIS Kelantan menafikan berlaku kes culik bayi di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu seperti yang tular melalui WhatsApp semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebaliknya kejadian jam 9.15 malam berlaku selepas bayi perempuan yang dilahirkan pra-matang pada 24 Disember lalu, diambil ibu bapanya tanpa kebenaran pihak hospital.
“Bayi itu masih menerima rawatan sebelum bapanya berusia 29 tahun mengambilnya dari wad.
“Ketika itu berlaku sedikit kekecohan di hospital, termasuk tarik menarik antara jururawat dan bapa bayi berkenaan.
“Demi keselamatan bayi, jururawat terpaksa melepaskan bayi yang berada dalam pegangan lelaki berkenaan.
“Pengawal keselamatan juga cuba menghalang namun dia berjaya melarikan diri dengan kereta.
“Pihak hospital kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri sebelum ini dikatakan berkahwin di Thailand.
“Kejadian berkemungkinan berkaitan bayaran bil hospital namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Usaha mengesan mereka juga sedang dilakukan,” katanya.
Sumber: MyMetro