Bukan Rakyat Saja Perhati, Allah Lebih Tahu - Suraya


PENDANG - Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob akui beliau mengikut perkembangan politik parti pembangkang yang kini meruncing menghadapi krisis perebutan kerusi dan polemik berkecamuk gara-gara pencalonan Perdana Menteri dari Pakatan Harapan.

Namun begitu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pendang itu enggan peduli pada perkembangan tersebut, sebaliknya lebih bertumpu kepada tanggunjawab dan amanah yang diberikan kepadanya untuk terus bekerja demi rakyat.

"Ya, saya mengikuti perkembangan mereka (politik pembangkang). Tapi biarlah mereka nak tunggang-langgang, nak berpolitik sesama mereka, nak bercakar atau macam mana pun sekali. Kita perhatikan saja gelagat mereka dan biar rakyat menilai.

"Pada saya, adalah lebih baik untuk saya terus memberi tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab saya sebagaimana yang diamanahkan. Saya terus bekerja untuk rakyat, buat apa nak peduli dengan mereka (pembangkang)?

"Sejak saya mencebur diri dalam dunia politik lagi saya sudah berkhidmat kepada masyarakat. Malah sebelum ada apa-apa jawatan, sebelum bergelar Adun dan Exco pun saya sudah beri khidmat saya kepada rakyat," katanya ketika ditemui Kedahnews.com di sini, hari ini.

Suraya berkata, jawatan atau kedudukan yang diberikan kepadanya selain amanah dari rakyat, ia juga merupakan ujian yang datang dari Allah SWT kepadanya untuk melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat yang dipimpin.

Tegas beliau, segala yang dilakukan oleh hambaNya itu bukan sahaja diperhatikan rakyat, malah akan tetap diperhitung Allah di akhirat kelak.

"Jangan fikir kita hanya diperhatikan rakyat sahaja. Kita perlu yakin bahawa Allah SWT juga perhatikan kita. Malah dalam hati kita pun Allah tahu. Jadi, hati kita perlu bersih dan ikhlas dalam menggalas tanggungjawab ini.

"Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi ahli politik atau pemimpin. Kerana itulah saya terus fokus membantu rakyat sedaya upaya saya," katanya yang mengakui hanya menikmati waktu tidur purata selama tiga atau empat jam sehari sahaja.

Selain itu, Suraya turut mengimbas pengalamannya berkhidmat sebagai Adun pembangkang ketika kerajaan negeri diambil alih oleh Pakatan Rakyat yang didominasi PAS selama sepenggal sebelum ini.

Kata Adun Sungai Tiang itu, meskipun agak sukar, namun beliau tetap berusaha gigih dan tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri pimpinan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.

"Saya pernah jadi Adun pembangkang sebelum ini. Walaupun saya Adun pembangkang ketika itu, saya tetap utamakan masyarakat berbanding diri sendiri. Walau sesukar mana pun, saya tetap berikan yang terbaik kepada mereka.

"Memanglah agak sukar. Tapi kita perlulah bijak menyusun dan merancang. Saya baik dengan arwah (Tan Sri) Ustaz Azizan (Razak) dulu. Walaupun berbeza fahaman politik, kami tak berpolitik 24 jam.

"Untuk kepentingan rakyat, kami profesional. Yang mana arwah Ustaz Azizan tak dapat bantu, saya usahakan sendiri dengan bantuan UMNO Negeri, Kerajaan Pusat, agensi kerajaan dan sebagainya.

"Usahalah sampai berjaya bantu rakyat. Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih, kan?" ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah itu. - Kedahnews.com