Bukan Saya Mahu Merendahkan Mahathir, Tapi.. - Mohd Amar


ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilhat tidak sesuai untuk berbicara tentang perihal agama Islam ekoran dari latar belakangnya yang tidak memenuhi kelayakan untuk berbuat demikian.

Tidak berniat untuk merendah-rendahkan Mahathir, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah melihat kelemahan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu setiap kali beliau bersuara mengenainya.

"Bukan saya mahu merendahkannya, tetapi sejak dulu lagi saya perhati (dan mendapati) beliau tak ada kelayakan untuk bercakap soal agama.

"Lebih baik beliau (diam) sahaja jika berkaitan isu agama. Apabila bercakap, nampak kejahilannya," kata Mohd Amar dalam satu kenyataan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu turut meluahkan rasa kesalnya terhadap respon balas daripada Mahathir sekiranya bercakap mengenai Islam selama ini.

"Seolah-olah beliau tak boleh terima. Saya pun tak tahu apa perasaan dia yang sebenar," ujar beliau.

Mohd Amar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mahathir yang menyalahkan institusi mufti yang kononnya bertanggungjawab terhadap tragedi Memali 1985.

Mahahir pada Sabtu lalu, meletakkan kesalahan tersebut kepada para mufti ketika itu  kerana tidak bersuara membantah "Amanat Haji Hadi" yang menurutnya pandangannya merupakan punca berlakunya tragedi berdarah tersebut.

"Inilah hasil daripada fatwa yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh mufti.

"Saya fikir mufti-mufti patutlah bertanggungjawab kenapa berlaku peristiwa Memali, ia tidak akan berlaku kalau awal-awal lagi mufti mencabar Amanat Hadi (yang malah) tidak disangkal oleh mereka," ujar Mahathir.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan bahawa Mahathir tidak boleh memaksa golongan mufti untuk mengeluarkan fatwa dan hukum-hakam Islam mengikut kehendak nafsu politiknya.

Beliau berkata, golongan mufti ketika itu dipercayai mengambil pendekatan mendiamkan diri ekoran corak pentadbiran autokratik Mahathir sendiri yang sanggup memecat sesiapa sahaja sekiranya 'tidak sebulu' dengan pandangan politik beliau.

Abdul Hadi turut mengimbas tindakan di mana Ketua Hakim Negara pernah dipecat Mahathir manakala Ketua Polis Negara tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya di era 22 tahun pemerintahan bekas Perdana Menteri itu. - Kedahnews.com