‘Bukan Senang Nak Potong Tangan’


KOTA BHARU - Biarpun isu hudud kini kembali hangat diperkatakan namun masyarakat tidak perlu takut dilaksanakan di Kelantan, terutama melibatkan hukuman potong tangan.

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, berkata, hukuman potong tangan tidak semudah yang digambarkan sebaliknya perlu melalui pelbagai tapisan.

“Masyarakat bincang mengenai potong tangan, sedangkan ia bukan senang, maknanya bagi satu-satu kesalahan ia ada pengecualiannya, ada berbelas–belas pengecualian untuk sampai ke peringkat itu (potong tangan).

“Bagi satu-satu kes tidak semestinya mencuri kena potong tangan, tengok keadaan juga, sama ada terdesak, kelaparan, ataupun apa-apa masalah dilalui sehingga terpaksa mengambil benda itu,” katanya.

Beliau ditemui ketika menghadiri Majlis Amanat Khas Tahun Baharu 2018 dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim di sini, semalam.

Daud berkata, sejak zaman Rasulullah SAW hukuman potong tangan adalah suatu perkara yang sukar dan  hukuman berkenaan mungkin sengaja disensasikan bagi menakutkan masyarakat ketika Kelantan bersungguh-sungguh melaksanakannya.

“Sedangkan dari segi hakikatnya, Insya-ALLAH tidak akan sampai ke peringkat itu (potong tangan). Yang penting undang-undang itu ada dan boleh dikuatkuasakan.

“Kalau tidak ada penguatkuasaan, itu yang menyebabkan orang tidak takut,” katanya.

Beliau juga memberitahu, Mahkamah Syariah juga telah lama bersiap sedia sepenuhnya jika Kelantan dapat menguatkuasakan hukum hudud di negeri ini.

Katanya, dalam konteks  kemampuan pengamal undang-undang, prasarana dan sebagainya sudah disusun sebagaimana dihendaki  undang-undang.

Sumber: Sinar Harian