Buruh Dari Taiping Dituduh Bunuh Isteri Dengan Niat


TAIPING - Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana membunuh isterinya pada 11 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Fadil Zainan, 41, didakwa menyebabkan kematian Noorwaheedah Abdul Wahid, 38, dengan niat membunuhnya di rumah mereka di Nombor 49 Batu Matang, Matang Road, Matang di sini pada jam 8.30 malam pada hari berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan membunuh yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Mohd Fadil mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah kemudian bersetuju terhadap permohonan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Raihan Rithwan, untuk tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Mohd Hairol kemudian menetapkan kes itu disebut semula pada 19 Mac ini untuk menunggu laporan bedah siasat berhubung kematian mangsa.

BH sebelum ini melaporkan mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada jam 9.30 malam Sabtu lalu, akibat trauma tumpul di kepala dan pendarahan dalam otak.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib dilaporkan berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang mengesyaki mangsa mempunyai hubungan rapat dengan lelaki lain.

Sumber: BH Online