Buruh Haram: Rakyat Malaysia Ditawar Kerja Kotor, Bahaya


PETALING JAYA - Korea Selatan dilihat agak terbuka dalam menerima masuk pekerja asing untuk bekerja di negaranya, terutama dalam bidang yang berisiko tinggi.

Ini kerana kebanyakan rakyat tempatan mengelak bekerja dalam sektor tersebut yang dilabelkan sebagai kerja-kerja '3D' (dirty, difficult, dangerous-kotor, sukar,bahaya)terutama di sektor pembinaan dan pembuatan yang bagi mereka 'teruk' tetapi gajinya dianggap rendah.

Situasi ini menyebabkan kerajaan Korea Selatan mengkaji masalah kekurangan tenaga buruh dalam setiap industri secara tahunan dan menetapkan kuota pekerja asing dalam skim kerja berkemahiran rendah berdasarkan keperluan majikan.

Melihat senario ini, tidak hairanlah jika kerajaan negara ini turut mempunyai peruntukan dan menyediakan pampasan untuk pekerja asing yang cedera atau terbabit kemalangan di tempat kerja.


Menurut wartawan media di negara itu, Korea Herald (KH), Ock Hyun-ju yang bekerjasama dengan mStar Online bagi menyingkap isu ini, katanya, menerusi Akta Piawaian Buruh dan Akta Insurans Pampasan Kecacatan Perindustrian, pekerja tempatan dan pekerja asing akan dibayar pampasan untuk sebarang kecederaan yang berlaku di tempat kerja.

"Permohonan memfailkan pampasan kepada Kementerian Pekerjaan dan Buruh tidak memerlukan persetujuan majikan, malah mereka yang tinggal di negara ini secara haram boleh menerima wang itu.

"Tempoh mereka berada di sini akan dilanjutkan sehingga mereka selesai menjalani rawatan. Apabila rawatan selesai, mereka dihantar kembali ke negara asal," kata Hyun-ju.

Hyun-ju yang membantu daripada segi perkongsian maklumat mengenai situasi ini di Korea Selatan turut turun padang dan bertemu dengan beberapa mangsa dari Malaysia di sana yang cedera semasa bekerja, tetapi diabaikan oleh majikan.

"Pekerja asing rasa sukar untuk menerima pampasan disebabkan halangan bahasa, kesedaran yang rendah terhadap skim itu dan mereka takut hilang kerja atau dihantar pulang jika bertegas menuntut pampasan.

"Kebanyakan pekerja tanpa memiliki status sah, seperti pekerja Malaysia yang disebut dalam artikel terdahulu mendapati lebih sukar untuk menerima pampasan kerana mereka diupah secara harian dan tidak menandatangani kontrak dalam banyak kes," katanya selepas membuat semakan.

Hyun-ju turut memetik seorang aktivis tempatan berhubung majikan yang cenderung untuk menutup kes dengan memberi 'wang penyelesaian' kepada pekerja yang cedera bagi mengelak daripada membayar skim insurans kendalian kerajaan pada kadar yang tinggi.

"Di bawah undang-undang, kadar yang perlu dibayar untuk skim ini bergantung kepada jumlah kemalangan industri di tapak kerja mereka.

"Mereka juga harus membayar denda jika ditangkap mengupah pekerja asing tidak berdaftar. Selain itu, perniagaan yang mecatat kadar kemalangan yang tinggi didapati tidak mendapat banyak kelebihan," katanya.

Mengikut data kerajaan Korea Selatan, tahun ini jumlah pekerja asing dalam Sistem Permit Pekerjaan (EPS) yang dari 16 negara di Asia dan Asia Selatan untuk mengisi kekurangan buruh di bidang pembuatan, perikanan dan pertanian adalah sekitar 275,000 orang.

Visa EPS membenarkan mereka bekerja di sana sehingga empat tahun dan 10 bulan.

"Malaysia bukan salah satu daripada 16 negara, sebab itu rakyat Malaysia tidak mempunyai laluan rasmi untuk memasuki pasaran buruh di sini," katanya.

Permintaan pekerja asing berkemahiran rendah terus meningkat di kalangan majikan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, kerana mereka mencari buruh yang lebih murah.

Bagaimanapun, pada masa sama kerajaan Korea Selatan perlu berhati-hati bagi mengelak pandangan awam bahawa pekerja asing 'mengambil' pekerjaan penduduk tempatan.

Sumber: Mstar Online