SUNGAI PETANI - Reman suspek kes cabul membabitkan kanak-kanak perempuan tujuh tahun di sebuah fun fair di Taman Ria di sini disambung kepada enam hari lagi bagi membantu siasatan.
Terdahulu, perintah tahanan reman ke atas seorang lelaki berusia 40an yang direman selama tujuh hari berakhir hari ini.
Majistret Adibah Husna Zainal Abidin membenarkan perintah reman disambung kepada enam hari lagi dan akan berakhir pada 4 Februari 2018.
Terdahulu, suspek yang juga kenalan kepada keluarga kanak-kanak perempuan itu dikatakan melakukan perbuatan itu antara jam 11 malam hingga 1 pagi semalam ketika membawa mangsa ke tapak pesta di Taman Ria, di sini.
Perbuatan suspek hanya disedari ibu mangsa selepas menyaksikan klip video yang tersebar melalui Facebook sebelum tampil membuat laporan polis.
Berdasarkan klip video itu, lelaki terbabit dilihat memeluk kanak-kanak perempuan berkenaan yang berada di atas pangkunya, sambil tangannya berada di dalam baju mangsa.
Ibu mangsa mengesahkan sebelum kejadian suspek datang ke rumahnya di Sungai Lalang, di sini dan meminta kebenaran untuk membawa kanak-kanak itu keluar bagi membeli makanan di Taman Bandar Baru, di sini.
Mangsa hanya dihantar pulang ke rumah oleh suspek kira-kira jam 1 pagi, ibu mangsa yang menyedari perbuatan suspek melalui klip video yang tersebar bertanya kepada lelaki itu dan suspek mengaku melakukannya serta memohon maaf. - Kedahnews.com