Daesh Malaysia Guna Bahan Radioaktif Sebagai Bom


SINGAPURA – Kebimbangan semakin meningkat terhadap saki baki pengganas Daesh, termasuk penyokongnya di Malaysia, yang mungkin cuba menghasilkan bom menggunakan bahan radioaktif.

Kebimbangan ini semakin ketara kerana pihak polis Malaysia pernah menerima lebih 20 aduan mengenai bahan berisiko daripada sumber nuklear yang dilaporkan ‘hilang’ secara misteri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Perkara tersebut dilaporkan akhbar popular Singapura, TODAY hari ini yang mendakwa meskipun beberapa bahan radioaktif tersebut kemudian berjaya ditemui pihak berkuasa Malaysia, namun banyak lagi yang masih hilang.

Dengan gabungan ‘bahan radioaktif yang hilang dan ancaman Daesh’, sumber agensi keselamatan menyatakan bahawa adalah penting untuk divisyen antipengganasan mengesan secara agresif punca bahan nuklear yang hilang.

“Secara lazim, kes-kes nadir sedemikian akan disiasat oleh pihak polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah. Namun begitu, ia tidak boleh lagi dianggap sebagai hanya kes kecurian biasa,” menurut sumber tersebut kepada TODAY.

“Perlu kesan siapa yang bertanggungjawab, latar belakang mereka, rangkaian hubungan dan memastikan motif. Ini semua maklumat penting yang harus diperiksa bagi memastikan bahan berbahaya ini tidak jatuh ke tangan salah.”

Sumber-sumber tersebut turut memberikan amaran bahawa para pengganas di Malaysia mungkin menggunakan bahan-bahan radioaktif dan berasaskan nuklear yang lazimnya tidak dikategorikan sebagai ‘bahan terkawal’.

“Terdapat dua kelompok bahan radioaktif dan nuklear: bahan-bahan yang dikawal dan dipantau oleh pihak berkuasa, dan yang lainnya ialah kita tidak dapat kawal kerana ia dicuri ataupun dibuang dengan tidak betul.”

Kebimbangan terhadap ancaman keselamatan di rantau Asia Tenggara semakin meningkat selepas pihak berkuasa Indonesia berjaya mematahkan percubaan militan tempatan pro-Daesh untuk meletupkan sejenis ‘bom kotor’.

Istilah ‘bom kotor’ biasanya disifatkan sebagai pemusnah konvensional yang mengandungi bahan radioaktif. Komplot tersebut berjaya dipatahkan apabila pihak polis menyerbu beberapa rumah dan memberkas suspek.

Antaranya penangkapan lima individu di sekitar Bandung, wilayah Jawa Barat pada Ogos tahun lalu. Selepas serbuan dilancarkan, pihak polis turut mendedahkan bahawa terdapat komplot untuk meletupkan bom ‘kimia’.

Bagaimanapun pihak keselamatan Indonesia tidak pula memberikan sebarang maklumat lanjut kerana mungkin bimbang pendedahan secara publisiti media boleh menjejaskan operasi risikan. - Kedahnews.com