PENGACARA Roslan Shah sudah tidak dapat menahan sabar dengan tindakan seorang artis popular yang didakwa cuba memburukkan dirinya di laman sosial.
Roslan menerusi video secara langsung di Facebook pada malam Ahad turut menyifatkan tindakan artis tersebut sebagai melampau dan telah merosakkan reputasinya.
"Apa lagi tak puas hati, cerita pekung aku semua di laman sosial. Memang dia tidak menyebut nama aku tetapi semua orang tahu itu aku.
"Aku mengaku dahulu aku jahat tetapi mengapa perlu dedahkan semuanya sehingga sanggup memfitnah aku?
"Aku sudah hilang sabar, dia sudah melampau kerana selama ini aku diamkan sahaja tetapi kali ini memang aku perlu bersuara," katanya.
Roslan tampil membuat video secara langsung di Facebook bagi menjawab tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadapnya.
Roslan menerusi video itu juga turut mencabar artis berkenaan untuk menonton video secara langsung itu selain menjawab beberapa tuduhan dilemparkan terhadapnya.
Malah Roslan turut mendedahkan beberapa perkara dan rahsia peribadi mengenai artis tersebut sepanjang mereka berkawan sebelum ini.
"Jom kita buka pekung kau pula... kalau aku cerita semuanya kau akan mendapat malu," ujarnya.
Dalam pada itu, Roslan berkata, dia tidak melihat sebarang ruang untuk menyelesaikan masalah di antara mereka kerana sudah bersikap tawar hati terhadap artis tersebut.
"Saya bila-bila masa boleh berjumpa dengannya kerana perkara ini pun dia yang mulakan dahulu tetapi rasanya isu ini tidak boleh selesai dengan baik dah.
"Saya sudah tawar hati... kalau ada orang tuduh dan fitnah anda macam-macam, boleh ke anda bersabar? Cuba beritahu saya!," katanya lagi.
Sementara itu, Roslan menerusi video sama meminta agar artis berkenaan insaf dan bertaubat atas perbuatannya selain berhenti memburuk-burukkan namanya.
Sumber: Mstar Online