Denda RM1,000 Jika Ponteng Solat Jumaat


KUALA PILAH – Denda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan bakal dikenakan terhadap lelaki baligh yang didapati tidak menunaikan solat Jumaat.

Pegawai Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Pilah Mohd Raizalani Mohd Rais berkata, hukuman itu kepada lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dengan ketiadaan uzur syarie dan sebab munasabah mengikut Seksyen 113 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan (EJSNS) 1992.

Menurutnya, hebahan surat pekeliling kepada seluruh 68 masjid sudah dikeluarkan pada 4 Januari lalu bagi memberi kesedaran berkenaan kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat.

“Tindakan itu diambil susulan aduan yang diterima daripada kariah di sini yang mendakwa terdapat lelaki Islam yang berada di luar masjid dan berkeliaran di premis perniagaan serta tempat awam ketika solat Jumaat.

“Ia dilihat mencemarkan imej agama Islam sendiri selain mencerminkan sikap kurang ambil peduli mengenai hukum,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Raizalani berkata, arahan berkenaan adalah kali pertama dikeluarkan pihaknya demi memastikan golongan terbabit hadir ke masjid.

“Kita meminta pihak pengurusan masjid di daerah ini membuat hebahan dan edaran kepada ahli kariah semasa solat Jumaat dan menampal pekeliling di papan kenyataan,” katanya.

Sumber – myMetro