Derita Bekas Wartawan Kedah Dapat Simpati Perdana Menteri


Bekas wartawan Berita Harian yang pernah bertugas di Kedah, Tajuddin Saman,70 yang kini terlantar sakit sejak lapan tahun lalu selepas diserang angin ahmar mendapat simpati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak .

Tajuddin, pemenang Anugerah Kajai pada 1990 dan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah dan dua menteri Kabinet. 

Sumbangan peribadi Najib itu disampaikan Setiausaha Akhbar, Datuk Akmar Hisham Mokhles di kediaman bekas wartawan itu  di Presint 9 di  Putrajaya hari ini

Menurut Akmar, selain sumbangan peribadi Perdana Menteri, turut disampaikan kepada Tajuddin ialah sumbangan wang tunai daripada rakan-rakan setiausaha akhbar kepada menteri-menteri Kabinet.

“Hari ini saya sampaikan sumbangan daripada dua pihak kepada Tajuddin iaitu sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri dan juga sumbangan daripada rakan-rakan setiausaha akhbar kepada menteri-menteri Kabinet.

“Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban keluarganya untuk membeli barangan keperluan seperti susu dan juga lampin pakai buang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu.

Tajuddin yang juga penulis buku berjudul ‘Dari Kodiang ke Jalan Riong’ yang mengisahkan mengenai kerjayanya sebagai wartawan.

Beliau pernah bertugas sebagai pemberita daerah di Sungai Petani pada sekitar tahun 80an.

Tajuddin juga pernah menjadi setiausaha akhbar bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid.

Penderitaan Tajuddin pernah disiarkan dalam berita TV3 baru-baru ini. - Kedahnews.com