Dikritik Jadi Pengacara, Rita Rudani 'Sekolahkan' Penulis Mesej Hinanya


KUALA LUMPUR - Pelakon sensasi, Rita Rudaini, 42, terkilan dengan sikap individu yang memandang rendah terhadap dirinya kerana mengacarakan program beli-belah dalam talian, CJ Wow Shop.

Rita atau nama penuhnya Rita Rudaini Mokhtar berkata, dirinya terpanggil untuk membalas mesej dihantar individu berkenaan apabila berasakan ia bersifat hinaan, lebih-lebih lagi penulis itu membangkitkan beliau sudah tua untuk mengendalikan program sedemikian.

"Hari ini 'sis' (saya) terpanggil untuk membalas mesej peribadi daripada seorang individu ini. 'Sis' tak sukalah apabila ada yang mempertikai rezeki 'sis' cari untuk anak-anak.

"Keji ke jadi pengacara? Hina sangat ke pengacara? Salah ke aku tua? Kenapa kau susah hati sangat dengan kerja aku?" luah Rita di Instagramnya, beberapa jam lalu.

Rita ialah seorang daripada pengacara yang mengendalikan CJ Wow Shop di TV9, bermula awal bulan ini.

Sementara itu, menerusi perkongsian sama, Rita berkata, beliau tidak menyukai golongan seperti individu terbabit sambil menyifatkan, semakin ramai orang yang bersifat busuk hati.

Dalam pada itu, Rita turut menasihatkan individu yang menghinanya itu supaya menjadi seorang manusia yang lebih baik.

Tambah pelakon drama Misi Laksa Dan Laksam itu lagi, tujuan beliau mendedahkan akaun individu berkenaan sebagai pengajaran untuk orang lain.

"Tak susah pun jadi baik 'bro'... Aku 'tag' kau sebab nak bagi pengajaran pada orang lain juga. Jangan busuk hati pada manusia lain. Rezeki Allah sudah bagi elok-elok pada diri masing-masing," ujarnya.

Perkongsian Rita itu mendapat lebih 14,600 'like' dan kira-kira 1,300 komen daripada pengikut serta peminatnya, dengan rata-rata menyokong tindakan dilakukan pelakon terbabit.

Sumber: BH Online