SEORANG pelancong dari New Zealand telah memuat naik satu surat aduan ke Facebook, berkenaan pemakaian kru kabin sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.
Dr. June Robertson, dari Wellington, mendakwa sering datang ke Malaysia atas urusan kerja dan sudah menganggap negara ini sebagai negara keduanya.
Namun dalam surat yang dialamatkan kepada seorang Senator itu, Robertson berkata satu insiden yang berlaku baru-baru ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), membuatkan dia terkejut dan merasakan perlu memberi teguran, lapor sebuah portal berita New Zealand, news.com.au.
"Ketika itu, saya berada di sebuah hotel berdekatan lapangan terbang. Saya ternampak pramugari dari sebuah penerbangan yang juga berada di situ, dan saya terkejut apabila melihat betapa pendek skirt yang dipakai mereka.
"Saya telah menjelajah ke serata dunia, menggunakan perkhidmatan pelbagai syarikat penerbangan, tapi saya tidak pernah nampak mana-mana krew syarikat penerbangan memakai skirt sesingkat itu.
"Lebih teruk, saya ternampak salah seorang daripada pramugari itu menunduk untuk mengambil sesuatu, dan saya boleh nampak seluar dalamnya!" tulis Robertson.
Sambung Robertson, ketika menggunakan penerbangan itu dari Auckland ke Kuala Lumpur Oktober lalu, dia pernah menegur seorang pramugari yang bertugas kerana "butang bajunya terbuka dan saya boleh nampak bahagian dadanya".
"Salah satu perkara yang membuatkan saya selesa dengan Malaysia adalah kerana penduduknya sangat sopan dan menjaga adab berpakaian.
"Saya tidak rasa imej sebegitu bagus untuk Malaysia," tulisnya di pengakhiran surat itu.
Sumber: Astro Awani