Dua Rakan Ditahan Bersama Dadah Bernilai Lebih RM10,000 Di Bukit Mertajam


BUKIT MERTAJAM - Dua lelaki termasuk seorang penternak lembu yang dipercayai turut mengedar dadah ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Mengkuang Titi, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi tadi, salah seorang  suspek yang panik bertindak mencampakkan bungkusan surat khabar ke lantai dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Ujarnya, pemeriksaan fizikal lelaki berusia 47 tahun itu menemukan satu paket bungkusan lutsinar disyaki syabu sementara bungkusan surat khabar itu pula mengandungi dadah jenis heroin .

“Dalam serbuan berkenaan polis turut merampas wang  berjumlah RM2,110 dan menyita tiga motosikal,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pemeriksaan terhadap penternak lembu berusia 37 tahun itu pula menemukan satu ketulan disyaki heroin seberat 114 gram selain suspek turut memiliki satu rekod jenayah dan sembilan rekod dadah.

“Ujian air kencing yang dilakukan pula mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine,” katanya.

Beliau memberitahu, kesemua heroin yang dirampas dianggarkan bernilai RM10,194 manakala syabu seberat 6.8 gram bernilai RM475.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2), Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: Utusan Online