Dulu Reformasi, Malaysian Malaysia Sanggup Mati Mahu Mahathir Undur, Sekarang?


KALAU dahulunya pergerakan Reformasi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ideologi ‘Malaysian Malaysia’ pemimpin DAP, Lim Kit Siang beria-ia mahu menjatuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mereka bekerja keras mahu gulingkan beliau sebagai perdana menteri atas sebab Mahathir memerintah dengan kuku besi sehingga mempopularkan slogan Undur Mahathir Negara Okay sebagai ganti untuk akronim UMNO!

Beliau disabitkan teruk mengamalkan kronisme, ketagih pelbagai projek mega raksasa, mengamalkan rasuah dan salahguna kuasa yang akhirnya berjaya membebankan rakyat marhaean dan negara pula menjadi mangsa.

Kini laungan Reformasi sudah tidak bermaya lagi setelah berhadapan dengan Mahathir dalam Pakatan Harapan mereka dan ‘api perjuangan’ yang berkobar-kobar dahulunya telah menjadikan ia sebagai ReforMATI.

Bagi puak Kit Siang pula, DAP-ist tidak lagi melaung-laungkan prinsip perjuangan mereka untuk sebuah negara demokrasi sosialis berdasarkan prinsip sama rata, hak asasi dan keadilan sosial atas landasan ‘Malaysian Malaysia’.

Peliknya kedua-dua puak ini telah berjaya memprovokasi fikiran rakyat semua lapisan untuk berjuang sehingga sanggup menggadai nyawa, sumber kewangan dan tenaga sendiri untuk misi menjatuhkan pemerintahan Mahathir.

Beliau dituduh kononnya merupakan perdana menteri yang paling kejam, amat kuat rasuah dan akan memufliskan negara dengan amalan penyalahgunaan kuasa mutlaknya sehingga digelarkan sebagai Diktator Maha Firaun.

Bagi Anwar dan pendukung reformasi, golongan dan lapisan pemuda idealistik termasuk mahasiswa universiti yang inginkan perubahan untuk melahirkan Malaysia baharu pada ketika itu telah menjadi sasaran utama mereka.

Ramai kalangan mereka mendapat didikan agama, yang berdakwah dan percaya pada nilai murni dan dahagakan nilai suci tidak sanggup melihat negara ini terus dibelenggukan dengan pemerintahan keras Mahathirisme.

Fahaman itu disamakan dengan segala bentuk kekejaman, kezaliman dan ketidakadilan. Puak Kit Siang dan DAP pula mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan kedudukan rasmi agama Islam termaktub dalam perlembagaan.

MCA dipersalahkan, dipersendakan dan dihina sebagai parti yang berdosa pada orang Cina dan etnik-etnik lain kerana menggadaikan hak mereka dan bersetuju dengan keistimewaan orang Melayu dan pribumi Sabah/Sarawak.

Selama beberapa dekad sejak kemerdekaan tanah air dan khususnya semasa pemerintahan Mahathir, DAP telah berjaya membelasah MCA yang dituduh mengorbankan hak kesamarataan rakyat yang konon DAP perjuangkan.


Mahathir dilakar sebagai diktator tidak demokratik malah MCA dituduh sebagai parti pencacai yang ingin menjawat kedudukan menteri hingga sanggup mengenepikan hak orang Cina dan kaum minoriti lain dengan orang Melayu.

DAP akhirnya telah terus relevan sebagai sebuah parti politik yang menjadi parasit ke atas sentimen perkauman (khususnya masyarakat Cina) dengan menjadikan kawasan majoriti Cina sebagai sasaran kubu politik mereka.

Sentimen perkauman dan chauvinisme mereka begitu tebal sekali sehinggakan DAP boleh letak siapa-siapa sebagai calon mereka tanpa profil atau sumbangan politik dan DAP akan tetap menang dengan senang sekali di kawasan ini.

Itulah kekebalan DAP di kawasan majoriti Cina kerana eksploitasi emosi perkauman kelampauan. Hari ini segala-galanya menjadi nyata dan hati sebenar pemimpin-pemimpin ini terbongkar oleh kehebatan gaya politik Mahathir.

Rupa-rupanya Kit Siang dan Anwar selama ini cuma bermain politik dengan mempermainkan penyokong mereka semata-mata. Segala prinsip perjuangan mereka sebenarnya terbongkar adalah satu helah penipuan politik sahaja.

Prinsip laungan mereka adalah semata-mata untuk gerak naluri, imaginasi dan emosi penyokong yang telah jadi boneka politik boleh dikorbankan. Kepercayaan dan harapan mereka kepada Anwar dan Kit Siang dihampakan.

Mereka sebaliknya kini sudah berpakat untuk mengembalikan Mahathir bagi menjawat balik kedudukan perdana menteri semula sekiranya gabungan Pakatan Harapan menang dalam pilihan umum ke-14 tidak lama lagi.

Jari kuku besi Mahathirisme telah menular dan mencakar dengan mainan, manoeuvre atau manipulasi politik dalam PPBM dan seterusnya Mahathirisme sekali lagi bermaharajalela semula tetapi kali ini tidaklah dalam UMNO.

Namun berubah dalam Pakatan Harapan yang mana penyokong DAP dan PKR ditelan bulat-bulat. Bermula dengan penubuhan PPBM , dimana penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin beranggapan Presiden PPBM adalah “top dog”.

Mereka bagaimanapun terkejut besar apabila Mahathir pula yang meletakkan diri sebagai Pengerusi PPBM kemudian telah meminggirkan presiden parti. Ini disahkan pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pusat PPBM itu malah telah mengatakan Mahathir telah berjaya merampas kuasa dari Muhyiddin yang sekadar dijadikan sebagai “pawn” dan boleh dikorbankan dalam percaturan politik Mahathir.

Setelah itu, satu demi satu pemimpin yang percaya dan meletakkan harapan tinggi mereka pada Muhyiddin dan tidak boleh menerima kembalinya Mahathirisme telah bertindak meninggalkan parti serpihan UMNO tersebut.

Ironi, kembali kita kepada maruah PKR dan DAP yang berkecai apabila mereka tanpa segan-silu pula telah memeluk kembali ideologi Mahathirisme dengan menjadikan Mahathir sebagai calon pilihan utama perdana menteri mereka.

Inilah prinsip perjuangan pemimpin Reformasi dan ‘Malaysian Malaysia’ rupa-rupanya! Maka kita tidak akan lagi dapat kedengaran laungan gemuruh Reformasi dan Malaysian Malaysia akhir-akhir ini.

Bagi penyokong-penyokong Anwar dan Kit Siang yang telah berjaya ditipu oleh Mahathir selama berdekad-dekad, biarlah saya mengubati hati mereka dengan satu peribahasa popular masyarakat Cina ini:

Ia secara umumnya membawa maksud bahawa jarak perjalanan akan menentukan kekuatan seekor kuda, manakala masa pula akan membongkar keikhlasan seseorang pemimpin kita.

Ti Lian Ker merupakan pemerhati politik dan ahli Jawatankuasa Pusat MCA.