eCCRIS Inisiatif BNM Beralih Khidmat Rujukan Digital


ALOR SETAR – Bank Negara Malaysia (BNM) semalam memperkenalkan sistem maklumat rujukan kredit berpusat dalam talian (eCCRIS) sebagai antara inisiatif pendigitalkan perkhidmatan kewangan dan memperkasakan masyarakat, kata Gabenor Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Menurutnya usaha bank pusat tersebut bakal memperluas skop penggunaan laporan CCRIS.

“Laporan CCRIS bukan sahaja digunakan oleh peminjam dan pemberi pinjaman, malah ia turut digunakan bagi tujuan pemeriksaan kedudukan kewangan individu, aktiviti pengurusan dan penyelesaian hutang serta proses saringan pemohon pekerjaan oleh majikan.

“Perkembangan ini adalah selaras dengan aspirasi BNM untuk melihat penggunaan skor kredit yang lebih meluas,” katanya semasa berucap pada majlis memperkenalkan inisiatif tersebut di Karnival Kewangan Kedah 2018, di sini.

Sistem dalam talian eCCRIS ini bakal membolehkan pengguna kewangan memantau maklumat pinjaman tanpa mengira waktu dan tempat menerusi Internet, selain meningkatkan tahap kecekapan serta memudahkan dan memendekkan proses penilaian pinjaman orang ramai daripada 11 institusi kewangan di Malaysia.

Muhammad berkata skor kredit bukan sahaja boleh membantu institusi kewangan membuat keputusan kredit, malah ia juga boleh memberi gambaran, pandangan dan kefahaman terhadap tingkah laku pengguna.

Maklumat ini boleh digunakan oleh individu untuk mengambil tindakan yang bersesuaian bagi meningkatkan peluang untuk mendapatkan pembiayaan dan akses kepada perkhidmatan kewangan.

“Walaupun kadar penembusan perbankan Internet di Malaysia telah mencapai tahap 72 peratus, beberapa negeri masih mempunyai kadar penembusan perbankan Internet yang relatifnya lebih rendah.

“Contohnya, kadar penembusan perbankan Internet di Kedah hanya mencecah 46 peratus, dan untuk itu, sektor awam dan swasta perlu mempergiat usaha bagi memastikan akses jalur lebar di seluruh negara dengan kos berpatutan dapat dipertingkat, dan seterusnya melonjakkan penggunaan aplikasi moden perkhidmatan kewangan,” katanya.

Karnival Kewangan Kedah yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail hari ini merupakan siri keempat program itu yang dianjurkan oleh BNM dan industri kewangan.

Karnival pertama berlangsung pada Januari 2017, di Kuala Lumpur. – BERNAMA