TAWAU - Empat bahagian UMNO di Sabah iaitu Tawau, Kalabakan, Silam dan Semporna hari ini sepakat melaksanakan gempur fitnah pembangkang habis-habisan yang memanipulasi isu dengan berbohong pada rakyat serta memfitnah pemimpin Barisan Nasional (BN) serta kerajaan.
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata berbaki tempoh menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), semua anggota UMNO di lapangan, termasuk kampung dan pulau, akan berhabis-habisan menangani pembohongan pembangkang.
Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusi mesyuarat khas persiapan PRU14 bagi Jawatankuasa UMNO Zon 6 yang meliputi Parlimen Silam, Semporna, Tawau dan Kalabakan di sini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, Timbalan UMNO Bahagian Tawau Datuk Seri Syed Abas Syed Ali, serta Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Ramlee Marahaban.
Dalam pada itu, Abdul Ghapur berkata meskipun rakyat seluruh pantai timur Sabah tahu taktik kotor pembangkang memfitnah dan memanipulasi isu untuk menang PRU14 tetapi ahli UMNO tidak mahu bersikap sambil lewa, sebaliknya memberi penerangan kepada rakyat sekali gus menghapuskan tuduhan-tuduhan pembangkang yang bersifat liar dan bohong.
"Kami (ahli umno) mahu 'counter' semuanya, dan kerja gempur ini tiada hadnya... rakyat perlu tahu menilai kerana dalam tempoh lima tahun ini kerajaan sedaya upaya membantu rakyat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata menjelang PRU14, bendera BN dan UMNO akan mula dikibarkan di semua kawasan Zon 6 sebagai meniup semangat juang parti.- Bernama