TELUK INTAN – Kesatuan Eropah (EU) perlu mengharamkan mentega dan bukannya minyak sawit jika mahu menjadikan alam sekitar sebagai alasan pengharaman biobahan api berasaskan minyak sawit menjelang 2020.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata ini berikutan pelepasan karbon dioksida (Co2) bagi tujuan penghasilan mentega adalah 10 kali lebih tinggi berbanding minyak sawit.
“Satu tan pengeluaran mentega menghasilkan sebanyak 23.8 tan Co2. Namun minyak sawit sebaliknya mengeluarkan 2.3 tan Co2 iaitu perbezaan sebanyak 10 kali.
“Jika menggunakan logik mereka, kita sepatutnya mengharamkan mentega dari EU dan EU juga perlu berbuat tindakan sama,” katanya ketika berucap pada program pemberian baucar makanan kepada pelajar yang menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sini, semalam.
Beliau mengulas undian resolusi Parlimen EU pada 17 Januari lepas menerusi Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran negara anggota blok itu selepas 2020.
Menjelas lanjut, Mah yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata Malaysia akan mengadakan satu misi rundingan sawit ke Eropah dalam waktu terdekat ini sebagai susulan terhadap cadangan EU itu.
Misi yang akan diketuai beliau sendiri dan telah mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dijangka dapat dilakukan pada sambutan Tahun Baru Cina, bulan depan.
Beliau berkata misi tersebut akan melibatkan rundingan di sekurang-kurangnya lima negara untuk menemui menteri-menteri EU serta pesuruhjaya blok ekonomi serta politik itu dengan harapan mereka lebih bersikap lebih rasional.
“Mengikut sistem perundangan Parlimen EU, sebelum resolusi menjadi undang-undang ia perlu mendapat persetujuan Majlis Menteri Negara-negara EU dan Pesuruhjaya EU menerusi satu mesyuarat rundingan tiga hala antara mereka.
“Saya dimaklumkan bahawa mesyuarat tersebut akan dijangka diadakan pada bulan depan,” katanya.
Beliau berkata, selain berusaha menentang diskriminasi Parlimen EU, Malaysia akan turut bekerja keras bagi memperluaskan pasaran sawit negara.
Mengulas program hari ini, Mah berkata usaha yang dimulakan pada tahun lepas itu bertujuan meringankan beban keluarga golongan kurang berkemampuan dengan setiap penerima mendapat baucar makanan bulanan RM50 bagi tempoh dua bulan. – Bernama